26 Ogos 2010

Khatib pertahan doa untuk Lim Guan Eng

15 Ramadhan 1431 H

Zakaria Ahmad, khatib yang mencetuskan kontroversi kerana berdoa untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang, mempertahankan tindakannya itu dan berkata ia tidak salah di sisi agama.

"Bagi saya, berdoa (untuk orang bukan Islam) itu tidak salah cuma cara berdoa dan tempat (ketika khutbah Jumaat) itu yang dikatakan menjadi kesalahan.

"InsyaAllah lepas ini saya tidak akan mendoakan lagi (khutbah Jumaat) kalau hendak mendoakan pun di tempat lain," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) di Georgetown.

Beliau menyifatkan isu berdoa itu adalah kecil tetapi telah diperbesarkan oleh orang politik dan beliau berterima kasih kepada MAIPP kerana memberi bimbingan kepadanya.

Yang Dipertua MAIPP, Elias Zakaria, berkata jawatankuasa itu berpuas hati dengan keterangan Zakaria dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat MAIPP untuk tindakan lanjut.

Katanya, setakat ini tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Zakaria dan khatib itu juga bersetuju untuk tidak mengulangi perbuatan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, ketika dihubungi mengesahkan polis telah mengambil keterangan Zakaria hari ini.

"Kita cuba menyelesaikan siasatan berhubung kes ini hari ini," katanya.

Isu membaca doa untuk Lim bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: