11 Ogos 2010

Masjid Besar Lhasa Tibet

1 Ramadan 1431H.



Terdapat sekelompok penduduk Islam yang bermastautin dan mempunyai ciri-ciri budaya tersendiri yang ketara juga hidup dalam bandar Lhasa, iaitu "kota suci" agama Buddha aliran Tibet. Mereka dipanggil sebagai "Khache" oleh penduduk tempatan yang lain. Ini mungkin disebabkan nenek moyang mereka, iaitu penduduk Islam terawal di kawasan Tibet yang berasal daripada Kashmir. Kashmir dibunyikan dengan "Khache Yul" dalam bahasa Tibet kuno. Adat resam kehidupan mereka hampir sama dengan etnik Tibet.

Masjid Besar Lhasa Tibet terletak di jalan Hebalin, iaitu sebuah kawasan lama bandar Lhasa. Terletak tidak jauh dari masjid ini ialah Kuil Jokhang yang masyhur. Jikalau kita memandang jauh dari lokasi yang tinggi, kita dapat melihat sebuah menara yang dipasang dengan hiasan bulan sabit amat jelas kelihatan antara kompleks bangunan yang mempunyai corak seni bina tradisional etnik Tibet.







Terdapat sebuah pintu gerbang yang diperbuat daripada kayu di depan pintu utama masjid tersebut. Di atas pintu gerbang ini tertulis nama masjid ini dalam bahasa Arab, Tibet dan Mandarin. Bangunan-bangunan dalam masjid tersebut bukan sahaja mempunyai ciri-ciri agama Islam, malah turut memaparkan keistimewaan seni bina tempatan. Walaupun kedudukannya berhampiran dengan kuil-kuil Buddha, namun rekabentuk bangunan masjid tersebut selari dengan rekabentuk keseluruhan bandar Lhasa yang mencerminkan keharmonian antara budaya dan agama yang berlainan bagi pelbagai etnik.

Masjid Besar Lhasa Tibet merupakan masjid yang paling besar di Tibet setakat ini. Ia dibina pada abad ke-10 Masihi dan telah diperbaiki beberapa kali selepas itu. Aktiviti agama dapat dilakukan dengan lebih sempurna selepas dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan di seluruh negara. Bagi memenuhi keperluan penduduk orang Islam, kerajaan di pelbagai peringkat dan badan-badan berkenaan memberi perhatian sepenuhnya terhadap projek pembinaan semula masjid ini. Sekarang, keluasan pembinaan masjid tersebut telah mencapai lebih 1,160 meter persegi. Sebuah dewan sembahyang yang luas disediakan untuk menampung lebih ramai jemaah bersolat secara berjemaah. Sebanyak 250 hingga 300 orang jemaah Islam datang ke masjid tersebut untuk bersolat pada hari-hari biasa. Manakala, angka tersebut akan mencapai lebih 3,000 orang pada hari Jumaat.

Ya Gu, adalah Imam besar Masjid Besar Lhasa Tibet. Beliau dilahirkan dan dibesarkan sebagai orang Islam di Tibet. Beliau fasih bertutur dalam bahasa Arab, Tibet dan Mandarin. Imam Ya Gu amat mesra ketika bertemu dengan para pengunjung ke masjid ini. Beliau memberitahu wartawan bahawa terdapat tujuh buah masjid di Tibet, antaranya lima buah masjid terletak di Lhasa. Menurut beliau, tujuh masjid ini sudah boleh memenuhi keperluan penduduk orang Islam di Tibet.

Sebuah kawasan kediaman penduduk orang Islam sudah pun wujud di sekeliling masjid tersebut. Banyak restoran makanan halal, orang yang memakai kopiah putih atau tudung kini boleh dilihat lalu lalang dalam kawasan ini.CRI/-

Tiada ulasan: