14 Disember 2010

ANAK: Ladang Felda dipenuhi babi hutan

08 Muharam 1432H

Dakwaan Felda sebagai agensi pembangunan tanah yang terbaik, disangkal kerana masih wujud banyak kelemahan dan kegagalan agensi tersebut terutama dalam pelaksanaan tanam semula, lapor Harakahdaily.

Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman mendedahkan beliau menemui bukti kegagalan Felda yang membantu peneroka yang menyerahkan ladang kepada agensi berkenaan.

Menurut Mazlan, apa yang ditemuinya di Felda Chiku 1 dan Felda Prasu amat memeranjatkanya.

“Bukti yang saya temui itu amat memeranjatkan kerana tidak menyangka Felda yang didakwa agensi terbaik dalam kerja perladangan tetapi gagal melakukan penanaman semula terbaik malah merugikan peneroka.

“Satu masa dulu Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Felda menahan wang tabung tanam semula (TTS) kerana ada peneroka tanam sendiri beli barang lain dan ladang semak dipenuhi babi hutan. Sekarang saya nak tunjukkan, ladang Felda yang dipenuhi babi hutan,” katanya.

Mazlan berkata demikian dalam sidang medianya di di Temerloh baru-baru ini selepas pulang daripada melawat Felda berkenaan sesudah menerima aduan daripada peneroka yang menyerahkan urusan tanam semula ladang mereka kepada agensi kerajaan berkenaan.

Dalam lawatan itu, Mazlan telah dibawa meninjau ladang kendalian Felda yang bermasalah termasuk belum ditanam, semak yang merimbun dan tanaman kelapa sawit yang terbantut kerana tiada pemuliharaan.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, kegagalan berkenaan sudah tentu akan membebankan peneroka kerana kos sulaman menyebabkan jumlah hutang dan pinjaman sara hidup mereka akan meningkat.

“Bagi Felda pula, peningkatan hutang peneroka tidak menimbulkan masalah kerana ia yang memberi hutang sebaliknya penerokalah yang akan menanggung hutang yang makin lama semakin tinggi kadar faedahnya sekalipun Felda gagal menjayakan penanaman semula itu.

“Apa yang dibimbangkan, mana-mana peneroka yang ladangnya gagal dimajukan Felda akan menanggung kos dan bunga hutang yang tinggi berbanding peneroka lain sedangkan peneroka berkenaan tidak mempunyai kuasa menuntut Felda menanggung kos kegagalan penanaman itu, “ katanya.

Menurut Mazlan lagi, melalui perjanjian Felda dengan peneroka, peneroka tidak mempunyai apa-apa hak di atas kelewatan Felda menjayakan penanaman semula. Malah, peneroka juga tidak diberi penyata kewangan pengurusan ladang mereka oleh Felda.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: