14 Disember 2010

Bahas salahlaku ketua hakim: Karpal diarah keluar

08 Muharam 1432H
Oleh : Hazlan Zakaria

Ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh hari ini diarahkan ‘berehat’ sehingga sidang Dewan Rakyat selesai makan tengahari hingga jam 2.30 petang ini kerana ingin memulakan usul membincangkan aduan salahlaku Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Speaker membuat arahan keluar dewan itu mengikut Peraturan 18(1).

Karpal sebelum itu, mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) bagi membincangkan salahlaku rasuah Ketua Hakim Negara.

Dakwanya, Zaki dalam ucapannya mengakui di satu majlis perkhidmatan cemerlang di Mahkamah Persekutuan 11 Jun tahun ini, memberi rasuah pada 7 November 2008 di Kuching.

"Ketua Hakim Negara gagal membalas aduan saya, dan juga surat peringatan bertarikh 1 Disember 2010, di mana beliau enggan menjawapnya," kata Karpal.

"Perkara ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum perlu disegerakan, saya memohon usul saya dibincangkan," tegasnya.

Namun, Pandikar enggan membenarkan Karpal membincangkan perkara itu dan berkata Peraturan 36 (a) menghalang mereka daripada membincangkan kelakuan seseorang hakim semasa menjalankan tanggungjawabnya.

Apabila Karpal berulang-kali cuba berhujah bahawa beliau bukan mempersoalkan kelakuan Zaki sebagai hakim tetapi sebagai tokoh awam, Pandikar mula hilang sabar dan mengarahkan pemimpin veteran DAP itu ‘direhatkan’.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: