14 Disember 2010

Siri jelajah Anwar tetap bermula malam ini

08 Muharam 1432H
Oleh : Abdul Rahim Sabri

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjelajah ke seluruh negara bermula hari ini hingga 19 Disember ini bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan dalam WikiLeaks yang mendakwa beliau terlibat dengan perilaku dalam tuduhan yang dihadapinya.

Anwar dijadualkan berkongsi pentas bersama pemimpin Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP bermula malam ini di tapak pasar malam Taman Melwati, Wangsa Maju Wilayah Persekutuan.

Mengulas larangan polis kepada orang awam untuk tidak menghadiri ceramah malam ini, Anwar dalam twitternya berkata "Polis tidak benarkan - tanda Umno gentar dengan penjelasan. Saban hari diserang, mahu jawab dilarang."

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata penganjur tidak mempunyai permit untuk mengadakan ceramah umum itu. Polis juga katanya tidak meluluskan permohonan penganjur kerana ia boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam dan keselamatan.

Laporan Bernama itu memetik pegawai polis itu sebagai berkata pihak polis akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur meneruskan majlis tersebut.

Pemangku ketua cabang Wangsa Maju Mazlan Abdul Jalil berkata segala persiapan untuk menjalankan majlis itu termasuk hebahan di tapak pasar malam Taman Melati, Wangsa Maju, telah dibuat sebelum ini.

"Kita cuba menjaga keselamatan malam ini. Seramai 50 hingga 60 petugas daripada PAS dan PKR akan menjaga keselamatan.

"Kita juga memaklumkan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan persatuan peniaga memaklumkan penggunaan padang pada majlis ini.

Provokasi

"Tidak ada apa-apa gangguan. Ia tidak mengganggu lalu lintas dan tidak para peniaga," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya mengenai sama ada pihaknya memohon permit polis untuk mengadakan ceramah tersebut, Mazlan berkata pihaknya "ada memohon permit" dan "baru mengetahui ceramah itu tidak dibenarkan" selepas dimaklumkan kepadanya hari ini.

"Saya merayu supaya ceramah ini (boleh) diteruskan seperti mana yang dirancang. Kita berjanji akan menjaga hadirin yang hadir dengan sebaik mungkin daripada sebarang provokasi," katanya.

Selain itu, beliau juga merayu kepada hadirin supaya tidak melakukan sebarang provokasi dan memberikan kerjasama kepada penganjur untuk menyelesaikan sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku.

Majlis tersebut bermula jam 9 malam ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR Tian Chua; ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, Exco Kerajaan Selangor Teresa Kok dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: