10 Mei 2011

Barca Hanya Perlu seri

7 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



MADRID: Barcelona boleh memastikan kejuaraan liga Sepanyol kali ketiga berturut-turut dengan hanya satu mata ketika berkunjung ke Levante esok dan kemudian memberikan tumpuan penuh terhadap perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester United.

Barcelona mengalahkan pasukan jiran setempat Espanyol 2-0 kelmarin untuk mengorak langkah ke arah kejuaraan dan dengan rekod pertemuan lebih baik ke atas pencabar terdekat mereka Real Madrid, seri menentang Levante sudah mencukupi.

“Kami sedar kami tidak boleh gagal dan kini kami hanya mahukan satu mata untuk memastikan kejuaraan,” kata pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta. “Kami semakin menghampirinya kini dan lebih awal kami memenangi kejuaraan lebih baik.

“Kami bagaimanapun tidak boleh rileks, kerana ada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menanti.” Barcelona akan muncul pasukan pertama memenangi liga tiga kali berturut-turut sejak 1993 dan jurulatih Pep Guardiola tidak sabar untuk memastikan kejuaraan untuk merehatkan pemain bintangnya yang keletihan menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang United pada 28 Mei.

Jika Barcelona memenangi baki tiga perlawanan liga, mereka akan mencatat rekod liga 100 mata sekali gus memperbaiki catatan terbaik 99 mata yang mereka lakukan musim lalu.

Real, lapan mata di belakang di tangga kedua, kelihatan mengalah dalam perebutan kejuaraan namun tidak mahu menghadiahkan kejuaraan dengan mudah kepada Barcelona.

Hari ini, Madrid akan menerima kunjungan pasukan jiran Getafe di Santiago Bernabeu ketika keputusan seri atau kalah akan menghadiahkan musuh tradisi mereka trofi kejuaraan.

Bintang Portugis, Cristiano Ronaldo menjaringkan empat gol ketika membantu kemenangan besar Real 6-2 ke atas Sevilla hujung minggu lalu dan kini mengumpul 33 gol dalam liga musim ini.

Ronaldo mengungguli carta penjaring gol terbanyak, dua gol di depan pemain Barcelona, Lionel Messi dan menjadi pilihan untuk memenangi anugerah Pichichi sebagai penjaring gol terbanyak liga.

“Lebih lama Barcelona memerlukan masa untuk memenangi liga lebih baik,” kata Ronaldo. “Kami perlu memenangi semua baki perlawanan kami tanpa memikirkan mengenai Barcelona. Saya tidak mahu memikirkan mengenai anugerah Pichichi kerana ada baki tiga perlawanan lagi.” 

AFP

Tiada ulasan: