10 Mei 2011

Utusan rendahkan martabat kewartawanan Malaysia

07 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Pada tahun 2001, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Shaik Daud Ismail menyatakan bahawa cermin kereta para hakim digelapkan bukan atas sebab keselamatan diri tetapi demi menutup malu mereka.

Kenyataan ringkas beliau mencerminkan penghinaan yang ditempuhi badan kehakiman kerana terpaksa tunduk di bawah telunjuk Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada hari ini pengamal satu lagi cabang demokrasi di Malaysia mungkin terpaksa mengikut jejak hakim menggelapkan cermin kereta bagi menutup aib – iaitu wartawan.

Setiap mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam bidang kewartawanan dicengkam dengan rasa kesal, mual atau marah dengan laporan Utusan Malaysia, kononnya ada usaha pihak gereja untuk menjadikan Kristian agama rasmi Malaysia.

Laporan muka depan Utusan Sabtu lalu itu dipetik dari dua blog pro-Umno.

Dua laman berkenaan adalah antara puluhan blogger dalam alam siber yang saban hari mengitar fitnah, tohmahan, rekayasa dan apa sahaja untuk memenuhi agenda sempit Umno.

Tindakan Utusan menyiarkan berita sedemikian tanpa menyiasat sendiri kesahihannya ataupun mendapatkan penjelasan serta merta daripada pihak gereja jelas tidak bertanggungjawab dan melanggar prinsip-prinsip asas kewartawanan.

Mungkin universiti-universiti tempatan perlu membuat kajian – sejak bila khabar angin, desas-desus dan fitnah dalam blog boleh dijadikan bahan berita, malah tajuk utama sebuah akhbar seperti Utusan Malaysia.

Antara nasihat pertama yang diberikan kepada setiap wartawan dalam mana-mana media ialah keperluan untuk melaporkan sesuatu secara bertanggungjawab dan amanah.

Utusan tidak terkecuali daripada tanggungjawab ini – namun berulang kali akhbar ini menyiarkan laporan-laporan yang tidak tepat dan bertujuan untuk membakar sentimen kaum Melayu.

Sabtu 7 Mei 2011 adalah kemuncak segala penyelewengan kewartawanan Utusan apabila akhbar itu menfitnah sekumpulan paderi Kristian semata-mata untuk membakar hati dan naluri orang Melayu supaya bernaung di bawah Umno.

Detik hitam itu bukan setakat memalukan warga kerja Utusan Malaysia tetapi mengaibkan seluruh warga media di negara ini.

Ini kerana suka tidak suka, tindakan Utusan bererti semua “ahli' profesion media di negara ini seolah-olah membenarkan fitnah dicetak dan disebarkan seluas-luasnya atas nama kebebasan
media.

Wartawan malu kerana saban hari, akibat tindakan Utusan dan TV3 khususnya, ungkapan “media arus perdana” di negara ini dikaitkan dengan kongkongan dan kawalan Umno, berita yang ditapis dan fakta yang direkacipta atau diputar belit.

Ini realiti media di negara ini. Sesiapa yang mengatakan akhbar, stesen televisyen, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, (Bernama) di negara ini tidak menerima panggilan telefon dan arahan daripada Pejabat Menteri dan Perdana Menteri hanya menipu diri sendiri.

Tindakan Utusan menyiarkan fitnah dari laman blog bagaimanapun menganjakkan imej tercalar media Malaysia ke paras baru yang hodoh dan menjijikkan.

Apabila berita yang tidak sahih boleh menghias muka depan sebuah akhbar yang menggelar dirinya penyebar fikiran rakyat, ia petanda jelas nilai-nilai murni kewartawanan di negara ini makin deras menuju ke liang lahad.

Laporan yang memetik blogger, tanpa diuji ketepatan fakta dan impak ke atas masyarakat akan menjadi cita rasa terbaru Utusan demi memenangkan Umno pada pilihanraya umum akan datang.

Persetankan keselamatan negara dan perpaduan rakyat yang tersedia rapuh, asalkan maksud politik tercapai, mungkin itu yang difikirkan oleh Lembaga Pengarang Utusan.

Nampaknya usaha Utusan untuk membakar sentimen Melayu sudah berhasil sekurang-kurang di kalangan juak-juak Umno. PERKASA kini mencanang retorik kononnya unsur-unsur Komunis kini menyusup masuk NGO dan pertubuhan politik untuk mencabar kedudukan Islam di negara ini.

PERKASA dan pelbagai NGO pro Umno lain turut membuat laporan polis. Yang disasarkan bukannya Utusan dan blogger terbabit tetapi perjumpaan paderi-paderi yang dimaksudkan.

Di Jakarta, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadiri sidang ASEAN turut menangguk di air keruh dengan “menjanjikan” siasatan menyeluruh.

Apakah agaknya perasaan penganut Kristian di negara ini apabila paderi-paderi utama mereka dipanggil seorang demi seorang ke Ibu Pejabat Polis untuk memberi keterangan.

Utusan, Umno, PERKASA dan Perdana Menteri harus jawab siapa yang sedang bermain dengan api perkauman.

Rasanya semua tahu bahawa sebaik sahaja Utusan menyiarkan laporan sensasinya Sabtu lalu, semua pihak yang berkaitan sudah membuat penafian dan penjelasan khususnya di di alam siber,

Penjelasan itu berpaksi kepada hakikat perjumpaan yang dimaksudkan tidak langsung menjurus kepada apa yang dilaporkan oleh Utusan, mahupun dua blogger berkenaan.

Yang menarik adalah tidak ada seorangpun Menteri yang berani menegur Utusan kerana keterlanjurannya itu.

Menteri yang paling diharap akan berbuat demikian – Datuk Seri Hishamuddin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri bagaimanapun bertindak mengikut kepentingan Umno.

Beliau menyalahkan pembangkang kerana kononnya mempolitikkan agama dan mencetuskan kemarahan penganut Kristian – sesuatu yang langsung tidak ada kena mengena dengan isu yang dipersoalkan.

Hishamuddin juga menyifatkan sebarang gerakan untuk menukar agama rasmi negara ini akan meletakkan seluruh negara dalam bahaya – kenyataan halus yang menunjukkan Umno-Utusan bersekongkol untuk menyemarakkan api perkauman pengundi Melayu.

Tahun lalu permit Suara Keadilan – lidah PKR dibatalkan hanya kerana mencadangkan Felda mungkin bankrap akibat pemborosan dan salah guna wang yang keterlaluan.

Jika “kesalahan” itu menerima hukuman sebegitu berat, tentunya laporan ”Kristian Agama Rasmi?” oleh Utusan yang bertujuan menyalakan api perkauman harus mengundang respon jauh lebih tegas dari KDN.

Namun percayalah, tidak ada apa yang akan berlaku kepada Utusan. Bak kata pepatah Inggeris “Business as usual” untuk akhbar kawalan Umno meneruskan agenda kewartawanan yang mengaibkan semua yang terlibat dalam industri ini.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: