10 Mei 2011

Lemas Ketika Cari Lokan

7 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



LAHAD DATU: “Saya suruh dia minta bantuan orang ramai, tapi dia terus terjun untuk menyelamatkan abangnya sebelum dia turut hilang dibawa arus,” kata Hazrin Nasrin, 26, ipar kepada dua beradik yang mati lemas ketika mencari lokan di Sungai Silabukan, di sini kelmarin.

Hazrin berkata, dia bersama dua beradik terbabit, Mohd Shah Mohammad Usof, 30, dan Mohd Sharil, 25, pergi ke sungai itu pada kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, bagi memastikan keadaan selamat, dia turun ke sungai terlebih dulu bagi mengetahui kedalaman sungai berkenaan kerana dua beradik terbabit tidak pandai berenang.

“Saya kemudian memberitahu mereka air sungai hanya separas pinggang dan selamat untuk mencari lokan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi kejadian, kelmarin.

Menurutnya, dua beradik itu kemudian turun ke dalam sungai sambil membawa pencakar sebelum Mohd Shah dihanyutkan arus ke kawasan dalam secara tiba-tiba.

Hazrin berkata, dia cuba membantu tetapi tidak berjaya sebelum adik mangsa cuba memberikan bantuan tetapi tidak berjaya sebaliknya dia turut dihanyutkan arus deras.

“Saya cuba menyelamatkan dua beradik itu tapi tidak berjaya kerana arus deras selain keadaan saya yang semakin lemah kerana terminum banyak air sungai,” katanya.

Menurut Hazrin, dia kemudian meminta bantuan orang ramai sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Lahad Datu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Lahad Datu, Pegawai Bomba Kanan II Abu Bakar Saranji berkata, JBPM menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian, namun gagal menemui kedua-dua mangsa dan gerakan mencari terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat.

“Keesokannya (kelmarin) mangsa pertama (Mohd Shah) ditemui tersangkut pada kayu, jam 11.25 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Gerakan seterusnya dijalankan bagi mencari adik mangsa, namun tidak berhasil sehingga gerakan mencari dihentikan kira-kira jam 6 petang kelmarin,” katanya.

1 ulasan:

Wanita Bertudung Hijau berkata...

mmmm sedapnya lokan bakar :-)