07 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
OBAMA ketika berucap di hadapan tentera di Kem Fort Campbell di Kentucky, Jumaat lalu.
Serangan ke atas Osama guna helikopter dikhuatiri berakhir seperti tragedi Black Hawk Down
WASHINGTON: Presiden Barack Obama berkata beliau bimbang penggunaan helikopter dalam operasi ke atas Osama bin Laden di Pakistan minggu lalu berisiko berakhir seperti tragedi Black Hawk Down di Somalia, tetapi berkata ia adalah cara terbaik untuk menjerat pemimpin al-Qaeda itu.
Dalam satu temuramah disiarkan kelmarin dalam rancangan 60 Minutes siaran stesen televisyen CBS, presiden itu berkata beliau menganggap adalah amat penting untuk dapat memastikan objektif tercapai.
“Dalam sesetengah kes, menghantar helikopter dan meletakkan anggota di darat mengundang lebih banyak risiko berbanding pilihan lain,” kata Obama.
“Namun misi ini amat penting dan penting bagi kita dapat memburu sasaran ini.”
Beliau juga berkata kaedah operasi itu dipilih untuk mengelak ‘mangsa tidak disengajakan’ di kejiranan berdekatan.
Kehadiran Osama di kawasan kejiranan itu selama kira-kira lima tahun menimbulkan persoalan mengenai siapa yang tahu kehadirannya dan siapa yang membantunya.
“Kami fikir semestinya ada rangkaian sokongan untuk Osama di dalam Pakistan. Namun kami tidak tahu siapa atau dalam bentuk apa sokongan yang diberikan rangkaian itu.
“Kami tidak tahu sama ada ia sesetengah pihak dalam kerajaan, di luar kerajaan dan itu sesuatu yang kami perlu siasat dan lebih penting perlu disiasat kerajaan Pakistan, ” kata Obama.
Presiden itu berkata walaupun berbulan-bulan tugas perisikan dibuat, kemungkinan Osama berada di kediaman itu hanya kira-kira 45-55 peratus. Namun Obama berkata beliau yakin kepada keupayaan pasukan khas sehingga beliau memutuskan sebarang risiko dapat diatasi. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan