21 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
LONDON - Chelsea telah memecat pengurus pasukan itu, Carlo Ancelotti awal pagi semalam.
Chelsea mengambil keputusan untuk memecat Ancelotti selepas penggendali dari Itali itu gagal membantu skuad The Blues memenangi sebarang gelaran musim ini.
Andre Villas-Boas yang membawa Porto menjuarai Liga Europa dan Liga Portugal dianggap calon pilihan untuk menggantikan tempat Ancelotti itu.
Turut dikaitkan ialah bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho yang kini merupakan jurulatih Real Madrid dan pengurus Turki, Guus Hiddink.
Pada aksi terakhir Liga Perdana England awal pagi semalam, Chelsea tewas 0-1 kepada Everton untuk menamatkan saingan musim ini di tempat kedua selepas ketinggalan sembilan mata di belakang Manchester United.
Dengan pemecatan Ancelotti itu, Chelsea sudah pun mempunyai seramai tujuh orang pengurus sejak hartawan Rusia, Roman Abramovich mengambil alih kelab London itu pada 2003.
"Chelsea dengan ini mengesahkan bahawa Ancelotti telah pun berpisah dengan kelab ini pada hari ini (semalam)," menurut satu kenyataan di laman web rasmi Chelsea kira-kira dua jam selepas tamat pertemuan dengan Everton itu.
"Pemilik kelab dan juga ahli lembaga pengarah mengucapkan terima kasih kepada Ancelotti di atas sumbangan dan pencapaiannya sejak memegang jawatan pengurus pada Julai 2009.
"Ia termasuk kejuaraan berganda musim lalu yang merupakan kali pertama berjaya dilakukan dalam sejarah kelab ini."
Jelas kenyataan itu lagi, persembahan musim ini yang jauh merosot daripada apa yang diharapkan telah membuatkan kelab berpendapat bahawa inilah masa terbaik untuk melakukan perubahan bagi menghadapi musim depan.
"Objektif jangka panjang Chelsea dan cita-cita kelab ini tidak pernah berubah. Kami kini akan memberi sepenuh tumpuan dalam mengenal pasti identiti pengurus baharu," tambah kenyataan itu.
Chelsea tampak bermula garang musim ini apabila menang kesemua lima perlawanan awal liga dengan ledakan 21 gol.
Segalanya tampak bermasalah pada November lalu apabila mereka tewas kepada Liverpool, Sunderland dan Birmingham selain beberapa keputusan seri lain yang memudahkan United mengambil alih kedudukan pendahulu. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan