21 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Keadaan sembilan mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat Sabtu lepas semakin stabil tetapi masih trauma mengingatkan tragedi yang mengorbankan 16 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.
Seorang petugas Hospital Ampang berkata enam mangsa dirawat di wad biasa manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Tiga di ICU kini stabil dan bertambah baik," katanya.
Kejadian tanah runtuh berlaku pada 2.30 petang Sabtu lepas menimpa Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa di Hulu Langat mengorbankan 16 nyawa manakala sembilan cedera.
Mangsa yang terselamat, Aizat Khusairi, 13, yang ditemui di hospital itu berkata beliau masih kedengaran suara jeritan kanak-kanak lain ketika tragedi itu.
Aizat Khusairi yang patah tangan kiri, berkata separuh badannya tertimbus di dalam tanah dan dapat dikeluarkan dua jam kemudian.
"Saya memang tinggal di rumah itu. Sekarang makcik yang menjaga saya. Tak tahu bila saya akan pulang dari sini," katanya.
Keadaan seorang lagi yang terselamat, Mohd Harris Izzuddin Sahrul, 11, juga bertambah pulih berbanding semalam, menurut ibunya Norizah Ibrahim.
Norizah berkata anak sulungnya yang cedera di bahagian kaki mula melebarkan senyuman hari ini.
Siti Fatimah Mohd Alauddin yang bekerja sebagai pengajar kepada anak-anak di rumah itu, kehilangan adiknya Mohd Hazim, 10, yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan itu.
"Saya sempat menyelamatkan baby saya (perempuan berumur setahun) dan memberikannya kepada suami saya. Saya berjaya berlari keluar dari tempat kejadian itu," kata Siti, yang berusia dalam lingkungan 20-an. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan