24 Mei 2011

Subsidi: Kenapa rakyat miskin jadi sandaran

21 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Mei: PAS sudah jemu mendengar alasan kerajaan yang cuba buat dalih kononnya jika subsidi tidak dikurangkan, maka banyak pembangunan untuk rakyat miskin tidak dapat dilaksanakan.

“Ke manakah wang yang diperuntukan selama ini kepada orang miskin setiap kali belanjawan negara?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Katanya, rakyat tidak boleh lupa wang PPRT sebanyak RM32 juta lesap ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Beliau turut mempersoalkan kenapa pula alasan untuk menaikkan harga minyak dan keperluan rakyat, maka orang miskin menjadi sandaran.

“Memanglah pemimpim BN bijak bermain kata-kata untuk menutup kelemahan kerajaan ketika menguruskan amanah rakyat,” katanya.

Menurutnya, selama ini pemimpin BN yang belanja secara tidak berhemah dan membazir ketika negara dilimpah dengan kemewahan, tanpa memikirkan apa akan terjadi jika negara mengalami kemelesetan.

Katanya, pemimpin Umno cuba mencari alasan untuk menarik subsidi bahan api dan makanan kerana fenomena global seperti kenaikan minyak di peringkat antarabangsa.

Sepatutnya, ujar beliau itu tidak boleh dijadikan alasan, kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan mempunyai kepakaran dalam bidang cari gali melalui Petonas.

Setakat hari ini, katanya Petronas diberi pengiktirafan di peringkat dunia dalam bidang cari gali seperti di Saudi, Sudan, Iraq dan Iran.

Justeru, tambahnya tidak hairanlah bagaimana Petronas telah membayar cukai kepada kerajaan sebanyak RM325 bilion pada 2007 hingga 2010.

Ini, katanya bermakna setiap tahun hitung panjang negara memperolehi hasil cukai yang dibiyai oleh Petronas sebanyak RM81.1 bilion.

“Perkara ini tidak berlaku sekiranya pemimpin negara ini adalah pemimpin yang mempunyai fokus ketika melaksanakan pembangunan dan memerangi rasuah dan pembaziran,” katanya.

Katanya lagi, ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badwi menjadi Perdana Menteri menaikkan harga minyak beliau memberi alasan kerajaan dapat menjimatkan wang sebanyak RM4 bilion di mana wang itu akan digunakan untuk meningkatkan pengangkutan awam.

Ini, menurutnya alasan yang tidak adil kepada penduduk luar bandar yang tidak dapat mengecapi nikmat pengangkutan awam seperti LRT, sedangkan harga minyak tetap sama antara penduduk luar bandar dan bandar.

Beliau berkata, penduduk luar bandar juga dibeban dengan kenaikan harga barang, sedangkan kemudahan pengangkutan mereka tidak dapat kecapi.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: