24 Mei 2011

Premium tanah untuk kebajikan hanya RM1

21 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


HULU LANGAT, 24 Mei: Kerajaan Negeri Selangor akan meluluskan permohonan tanah milik kerajaan negeri untuk tujuan kerja kebajikan dengan premium tanah hanya RM1.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ianya sebagai bukti kerajaan negeri terus memberikan sokongan kepada usaha murni pihak-pihak tertentu membantu golongan memerlukan seperti anak yatim, ibu tunggal dan mualaf.

Namun katanya, Kerajaan Negeri akan memantau semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang melibatkan kanak-kanak untuk memastikan keselamatan penghuninya terjamin.


(Gambar: Khalid melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa tanah runtuh Batu 14, Hulu Langat di Hospital Ampang, petang semalam.)

Kerajaan negeri juga akan mengenal pasti dan memastikan lokasi yang akan diberikan kepada pemohon adalah selamat dan prosedurnya  tidak menyalahi undang-undang.

"Kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi tapak tanah milik kerajaan negeri dengan bayaran sangat rendah iaitu tidak lebih satu ringgit untuk usaha kebajikan," kata beliau selepas mendengar taklimat dan melawat tempat kejadian tanah runtuh di Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, petang semalam.

Beliau berkata, pentadbiran sesuatu institusi kebajikan yang dibina juga akan dipantau bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.

Selain itu, Khalid meminta Kerajaan Pusat mempamerkan lokasi-lokasi yang berisiko tinggi mengalami tanah runtuh kepada orang ramai supaya kerja pemantauan boleh dilakukan secara bersama dan lebih kerap.

Kajian ini katanya telah dibuat selepas tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2009 lalu.

Kerajaan Pusat telah meletakkan hasil kajian ini dibawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Negeri telah dihalang dari mempamerkan hasil kajian ini kepada orang ramai.

“Maklumat kajian ini penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai. Jika orang ramai dimaklumkan, mereka boleh melakukan pemantauan awal di kawasan mereka yang mungkin termasuk dalam lokasi-lokasi berisiko tinggi,” katanya.

Selain itu beliau juga berkata, Kerajaan Selangor membuat keputusan bahawa madrasah tersebut tidak boleh diduduki sehingga satu keputusan dibuat mengenai statusnya.

Mengenai anak-anak yatim yang selamat dalam kejadian itu, Khalid memberitahu mereka akan ditempatkan di sekolah tajaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)

Sementara itu, beliau mengulangi ucapan takziah kepada keluarga 16 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh  itu. 

“Saya juga mewakili rakyat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor yang telah berangkat melawat tempat kejadian hari ini.  Keprihatinan baginda telah memberi kekuatan kepada keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Beliau turut  mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan menghulurkan pelagai bantuan kemanusiaan termasuk pasukan keselamatan dan polis yang sanggup mengambil risiko ketika menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Saya percaya kita semua telah berusaha sedaya upaya  untuk  menghulurkan bantuan kepada  semua mangsa sama ada yang terselamat atau yang terkorban serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Semalam adalah hari pertama Khalid melawat tempat kejadian selepas menempuh perjalanan selama 40 jam dan membatalkan seminar di Aspen Intistute, Amerika Syarikat.

“Saya  amat terkilan dengan kejadian tanah runtuh walaupun kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk meningkatkan tahap kesedaran pemilik tanah terhadap pembangunan cerun,” katanya.

Turut bersama beliau penasihat ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat dan beberapa Exco kerajaan negeri yang lain.

Tiada ulasan: