26 Januari 2012

Ijtima Pilihanraya dan Penerangan PAS Sarawak 1433H Pemangkin Kebangkitan Islam Bumi Kenyalang

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MIRI - Alhamdulillah pada 21 hingga 23 Januari 2011 yang lalu PAS
kawasan Miri telah menganjurkan program Ijtima Pilihanraya dan
Penerangan PAS Sarawak yang buat julung kalinya diadakan oleh Badan
Perhubungan PAS Negeri Sarawak di Miri.

PAS Miri diberi penghormatan sebagai tuan rumah untuk menganjurkan
program tersebut, dan telah berjaya mengumpulkan hampir 120 petugas
PAS dari seluruh Sarawak, terdiri dari kawasan
Petrajaya,Mukah,Limbang,Bintulu,Sadong Jaya,Batang
Lupar,Sarikei,Selangau,Sibu dan Miri.

Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi pada hari Sabtu di Pasar
Mosjaya Miri dengan program agihan kad tahun baru cina dan limau
bersempena Tahun Baru Cina yang diketuai sendiri oleh Abang Ahmad
Kerdee,YDP Batang Lupar merangkap AJK PAS Pusat .

Hampir 1,000 biji buah limau dan kad diedarkan disekitar kawasan pasar
tersebut. Sambutan amat mengalakkan (positif) diterima oleh kaum
Tionghua dengan santun. Pada sebelah malam, program Jamuan BBQ Ahlan
Wasahlan diadakan di PASTI Piasau bagi menyambut kehadiran perwakilan
dari setiap pelusuk negeri.

YB Datuk Husam Musa,Naib Presiden PAS dan YB Khalid Samad ahli
parlimen Shah Alam turut hadir ke majlis tersebut. Pada malam tersebut
juga diberi sedikit penerangan dan penjelasan mengenai isu-isu semasa
oleh kedua pimpinan dari pusat. Turut hadir YDP PAS Miri serta ahli
jawatankuasa PAS kawasan Miri.

Pada 22hb Januari 2012, program Ijtima bermula jam 8.30 pagi sehingga
5.00 petang dirasmikan oleh YB Datuk Husam Musa dengan pembentangan
tiga kertas kerja iaitu:-

i. Pelan Strategik Roadmap PRU 13 oleh YB Husam Musa
ii. Pengalaman PAS Selangor oleh YB Khalid Samad
iii. ICT dan Media Baru oleh Haji Shaifuddin PAS Sabah

Turut hadir dalam majlis tersebut Haji Adam Ahid Pesuruhanjaya PAS
Sarawak, Timbalan Pesuruhanjaya serta pemimpin negeri dan juga ahli
jawatankuasa dari setiap kawasan PAS Sarawak. Wakil DAP dan juga PKR
hadir sebagai pemerhati.

Perbahasan dari setiap wakil Kawasan dan Dewan juga diadakan pada
sebelah petang. Komitmen yang tinggi telah ditunjukkan oleh peserta
Ijtima bagi memastikan Sarawak bukan lagi "Fix deposit" bagi Barisan
Nasional. Sasaran PAS Sarawak untuk memenangi sekurang-kurangnya satu
kerusi Parlimen bagi membantu merealisasikan usaha Pakatan menawan
Putrajaya.

Para peserta diingatkan agar sentiasa berdamping dan bergaul dengan
semua bangsa dan agama agar PAS dapat diterima oleh semua kaum dan
agama di Sarawak ini. PAS boleh bertanding dimana saja asal saja terus
berkerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi mempastikan impian rakyat
untuk menawan Putrajaya menjadi kenyataan.

Pada hari ke 23 Januari,perwakilan yang masih belum pulang telah
bersama Dewan Himpunan Penyokong PAS Miri yang diketuai oleh Mr Yeo KL
menghadiri beberapa buah rumah penyokong PAS dari kaum Tionghua
sempena sambutan Tahun Baru Cina. Dengan kunjungan dan program
sebegini telah menunjukkan bahawa PAS Sarawak boleh diterima oleh
semua kaum dan agama dengan baik sekali.

Di keluarkan oleh Pusat Penerangan PAS Miri

Tiada ulasan: