26 Januari 2012

Nasib Penduduk Sarawak Yang Belum Memiliki MyKad

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Photo Jacky (kiri) bersama ayah tiri dan 2 orang anaknya.

MIRI – Baru-baru ini rombongan PAS Miri bersama YB Khalid Samad ahli
Jawatankuasa PAS Pusat dan juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam telah
bersama melawat ke Tudan dan memberi sumbangan Raya Cina kepada
penduduk di situ sempena perayaan tahun baru Cina.

Seramai 20 buah keluarga terdiri daripada bangsa Cina dan juga Iban telah
menerima sumbangan Raya Cina tersebut.

Salah seorang penduduk di kampung tersebut yang menamakan dirinya sebagai
Jacky telah mengadu kepada pihak PAS Miri yang beliau serta isterinya dan
juga anak-anaknya masih belum memiliki MyKad.

Dia mengadu akan nasib anaknya yang masih belum dapat bersekolah disebabkan
tidak memiliki surat beranak dan MyKid. Anak beliau yang berumur 6 tahun
sepatutnya dapat bersekolah bersama dengan rakan-rakannya yang sebaya
dengannya tetapi disebabkan tidak memiliki surat beranak dan MyKid anak
beliau tidak dapat bersekolah.

Walaupun beliau memiliki surat beranak dan ingin memiliki Mykad tetapi
semasa beliau ke pejabat JPN (Jabatan Penerangan Negara) di bahagian Miri
untuk mendapatkan MyKad, pegawai yang bertugas di JPN Miri tersebut telah
bertanya kepada beliau samada beliau pernah mengundi sebelum ini.

Persoalan pengawai tersebut sungguh pelik, bagaimana beliau hendak mengundi
sedangkan beliau tidak memiliki kad pengenalan atau MyKad.

Mereka juga meminta wang untuk proses pendaftaran daripada beliau,
memandangkan beliau tidak memiliki wang yang mencukupi dan kurang
berkemampuan lalu sampai sekarang beliau tidak dapat memiliki MyKad
tersebut. Inilah luahan perasaan beliau kepada pihak PAS semasa lawatan di
kampung Tudan baru-baru ini.

Andaikata perkara ini terus berlaku seperti apa yang diluahkan oleh
penduduk tersebut, kita amat kesal dengan sikap JPN, kerana tidak
memperdulikan akan nasib, penduduk tersebut. Pihak JPN seharusnya segera
bertindak mengatasi masalah ini agar penduduk tersebut tidak terpinggir
terus dari mendapatkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang sah menurut
perlembagaan Malaysia.

Kita mendapat banyak maklumat tentang masalah penduduk tempatan Sarawak
yang tidak memiliki MyKad dan juga surat beranak disebabkan kebanyakkan
mereka berasal dari pendalaman yang tidak memiliki kemudahan asas dan juga
jalan perhubungan yang teruk di Sarawak.

Apa tanggungjawab dan peranan JPN untuk mengatasi masalah penduduk
tempatan yang tidak memiliki Mykad dan surat beranak ini?

Mereka adalah penduduk asal Sarawak, bukannya pendatang asing tetapi nasib
mereka lebih malang dari orang asing yang datang menetap di Negara ini.

Adakah JPN akan terus membiarkan mereka terpingir tanpa sebarang tindakan
untuk mengatasi masalah mereka agar mereka mendapat hak yang sama dengan
penduduk yang memiliki MyKad.

Mereka yang tidak memiliki MyKad dan surat beranak sudah pasti tidak dapat
menerima sumbangan BR1M sebanyak rm500 dan RM100 untuk anak-anak mereka
yang bersekolah.

Kita mendesak JPN dan kerajaan Sarawak agar segera mengatasi masalah ini
dari terus berlarutan dan perlu memikirkan masa depan penduduk tempatan
tersebut. Apa akan jadi pada mereka, anak dan cucu cicit mereka pada masa
akan datang, kalau mereka tidak memiliki MyKad dan surat beranak?

Kalau JPN dan kerajaan Sarawak gagal mengatasi masalah ini, kita akan
membawa isu in ke sidang parlimen untuk dibahaskan melalui wakil rakyat
dalam Pakatan Rakyat yang akan mempastikan perkara ini dapat diatasi serta
akan memberi balik hak yang sama rata kepada penduduk asal yang tidak
memiliki MyKad dan surat beranak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik.

Inilah tanggungjawab kerajaan yang memerintah supaya sentiasa berlaku adil
dan saksama untuk semua rakyat.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

Tiada ulasan: