26 Januari 2012

Nafi sahaja tak cukup, Rosmah perlu saman

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 26 Jan: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor terus dicabar agar menyaman akhbar Australia Sydney Morning Herald, kolumnis Andrew Hornery dan pereka fesyen, Carl Kapp yang didakwanya telah memfitnah dirinya.

Cabaran itu kali ini dikemukakan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jingga 13 yang juga mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertindak menyiasat dakwaan akhbar itu bahawa Rosmah berbelanja lebih RM300,000 di sebuah butik di Australia.

"Sesiapa pun boleh menafikan dan menganggap menjadi mangsa atau ianya adalah merupakan berita karut, liar dan tidak benar, sedangkan tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap segala laporan yang dibuat," kata ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa.

"Bukan sahaja berbelanja mewah tetapi beliau bersama suaminya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah menginap di Hotel Darling, Sydney dengan kos RM65,100 semalam, termasuk juga perkhidmatan tempat letak kereta khas untuk limosin beliau," ujar Fariz lagi.

Laporan ke SPRM turut dibuat oleh NGO itu hari ini yang diwakili Mohd Azuan Ab Rahman di Pejabat SPRM Shah Alam dengan memetik laporan di dalam seksyen 'Private Sydney' yang disiarkan akhbar Australia Sydney Morning Herald sebagai bahan bukti.

Sebelum ini beberapa pihak turut mencabar Isteri perdana menteri itu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Autralia itu jika benar ianya adalah fitnah.

Malah bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam responya sebelum ini, beliau menganggap penafian dari rosmah itu bukan sesuatu yang pelik malah memang sudah dijangka.

Biarpun penafian dibuat Rosmah, kolumnis Andrew Hornery dalam satu kenyataan balas kemudiannya mempertahan tulisannya dengan mendakwa ianya sah dan benar.

Harakah Daily

Tiada ulasan: