26 Januari 2012

PAS mahu pecahkan tradisi Sarawak "fix deposit" BN

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MIRI, 26 Jan: PAS Sarawak melahirkan komitmen untuk memastikan negeri Bumi Kenyalang itu tidak lagi menjadi 'fix deposit' kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Tekad itu dizahirkan pada Ijtima Pilihanraya dan Penerangan PAS Sarawak yang buat julung kalinya diadakan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak di sini pada 21 hingga 23 Jan lalu.

Dalam program itu, 150 petugas pilihan raya PAS dari seluruh Sarawak hadir, terdiri dari kawasan Petrajaya, Mukah, Limbang, Bintulu, Sadong Jaya, Batang Lupar, Sarikei, Selangau, Sibu dan Miri.

Program tersebut dirasmikan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang turut membentangkan kertas kerja Pelan Strategik Roadmap PRU-13 .

Selain Husam, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga dijemput membentangkan kertas kerja berkaitan Pengalaman PAS di Selangor.

Satu lagi kertas kerja dibentangkan wakil PAS Sabah Haji Shaifuddin berhubung kepentingan penggunaan ICT dan Media Baru berdepan PRU-13.

Selain pembentangan kertas kerja, setiap wakil kawasan dan dewan juga diberi peluang berbahas tentang persiapan pilihan raya.

Sehari sebelum Ijtima tersebut pula, mereka telah mengadakan program mengagihkan kad dan limau sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Program tersebut diadakan di sekitar Pasar Mosjaya Miri dengan diketuai AJK PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee yang juga merangkap Yang Dipertua PAS Batang Lupar.

Kehadiran mereka menerima sambutan positif dari masyarakat sekitar yang rata-rata mahukan perubahan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: