26 Januari 2012

MAULIDUR RASUL SUBURI KECINTAAN TERHADAP NABI MUHAMMAD SAW

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ﴿٣١﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampun dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ ! ِاتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَتَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Sama-samalah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana berkesempatan sekali lagi bersua dengan Bulan Rabiulawal, iaitu bulan di mana kita memperingati dan meraikan hari ulang tahun keputeraan Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW menjelang tanggal 12 Rabiulawal.

Kita memperingati dan meraikan hari yang mulia dan bersejarah berkenaan dengan tujuan menyubur kembali perasaan kasih dan cinta kita kepada Nabi SAW, dalam erti kata mempertingkatkan lagi keazaman dan usaha menjadikan sirah serta sunnah baginda sebagai contoh ikutan dalam melayari bahtera kehidupan seharian. Sesungguhnya, mencontohi serta meneladani sirah dan sunnah Nabi SAW merupakan antara perbuatan mendaulat dan memuliakan ajaran serta syiar Islam kesan daripada wujudnya sifat takwa sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:-

ذَ‌ٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَـآئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى ٱلْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾
”...Dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (S. Al-Hajj: 32).

MUSLIMIN YANG DIKASIHI ALLAH!
Asas dan bukti keimanan seseorang Muslim dalam menegakkan Islam terletak pada perasaan cinta dan kasih yang teramat sangat terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya harus mengatasi perasaan cinta dan kasih kepada yang lain termasuk ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, harta benda dan sebagainya. Pernyataan ini sejajar dengan firman Allah:-

قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَ‌ٰنُكُمْ وَأَزْوَ‌ٰجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَ‌ٰلٌ ٱقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَـٰرَةٌۭ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَـٰكِنُ تَرْضَوْنَهَآ أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍۢ فِى سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُوا۟ حَتَّىٰ يَأْتِىَ ٱللَّهُ بِأَمْرِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ ﴿٢٤﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan isteri-isteri (atau suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya (daripada) berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik (derhaka).” (S. At-Taubah: 24).

Ayat ini mengingatkan manusia khususnya umat Islam bahawa perasaan cinta dan kasih kepada Allah dan Rasulullah SAW hendaklah melebihi rasa cinta dan kasih kepada yang lain. Ini kerana dari rasa cinta dan kasih itulah akan lahir semangat dan keazaman yang kuat untuk menuruti serta mematuhi segala suruhan dan larangan Allah dan Rasulullah SAW dengan penuh istiqamah.

Malah, cinta dan kasih itulah yang akan menyemarakkan semangat untuk berjihad atau berusaha menegakkan peraturan dan hidayah Allah di alam ini. Ia selaras dengan penyaksian serta pengakuan kita bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Dalam pada itu, kesempurnaan Iman seseorang Muslim itu juga diukur berdasarkan kepada tahap kecintaan dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW. Maknanya, mencintai Rasulullah SAW harus melebihi perasaan cinta kepada diri sendiri dan segala sesuatu yang dimiliki. Hal ini ditegaskan baginda melalui sabdanya:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ
“Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Malah, cintakan Nabi SAW juga menjadi pra-syarat untuk memperoleh kemanisan iman. Hal ini dijelaskan baginda melalui sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka.” (HR. Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i).

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA!

Persoalannya, bagaimana hendak mencintai Rasulullah mengatasi orang dan harta yang sangat disayangi? Caranya sudah tentulah dengan mengikuti segala tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam mengharungi kehidupan berpandukan al-Quran dan sunnahnya. Tatacara ini disarankan oleh Allah melalui firman-Nya:-

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ﴿٣١﴾

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampun dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali-Imraan: 31).

Ayat ini menjelaskan bahawa rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW bukanlah setakat mengucapkan ”kami cinta Rasulullah”. Perasaan cinta dan kasih kepada baginda SAW perlu dizahirkan dan diterjemahkan melalui perlaksanaan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Dalam erti kata yang lain, umat Islam perlu membuktikan rasa cinta dan kasih sayang masing-masing kepada Nabi SAW dengan menuruti segala ajaran baginda dalam segenap aspek kehidupan. Jika perilaku dan tindak tanduk seseorang Muslim itu bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka tidak layak dia dianggap mencintai dan mengasihi Allah SWT dan Rasul-Nya. Malah, orang yang mengingkari suruhan dan larangan Allah dan Rasul dianggap derhaka hatta bakal menerima azab yang maha pedih.

MUSLIMIN MUKMININ YANG DIRAHMATI ALLAH!

Ramai di kalangan generasi muda hari ini yang bukan saja liat mengerjakan suruhan Allah dan Rasulullah SAW, malah ada juga yang tidak kenal atau tidak tahu langsung mengenai insan kamil yang telah diutuskan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang, iaitu nur Islam. Mereka itu lebih kenal dan meminati artis-artis serta bintang-bintang sukan tertentu sehingga ada yang terikut-ikut dengan cara hidup mereka seperti cara mereka beraksi, berpakaian dan sebagainya. Akibatnya, ada yang kehilangan arah hidup lantaran hanyut dalam dunia keseronokan dan keterujaan memuja artis dan bintang sukan yang tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.

Allah SWT telah jelaskan di dalam al-Quran bahawa hanyasanya insan yang berhak dan layak dijadikan contoh ikutan yang terbaik adalah Muhammad SAW, nabi akhir zaman yang diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah:-
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌۭ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلآخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا ﴿٢١﴾

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (S. Al-Ahzab: 21).

Sehubungan dengan firman Allah tersebut, Maka setiap panduan, tuntunan, perintah dan larangan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Akhlak, keimanan, ibadah, muamalat, pergaulan dan sebagainya perlulah mengikuti seperti yang diteladankan dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Cara ini selaras dengan saranan Allah SWT melalui firman-Nya:-

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ﴿٧﴾

“…Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya itu. Dan bertakwalah kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (S. Al-Hasyr:7)

SIDANG JEMAAH YANG DIKASIHI ALLAH!

Secara kebetulan, tarikh Maulidur Rasul tahun ini jatuh beriringan dengan Hari Valentine yang diraikan oleh orang Barat pada 14 Febuari setiap tahun. Namun, umat Islam wajib menghindari diri masing-masing daripada terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dengan perayaan Hari Valentine kerana perayaan itu membawa unsur yang merosakkan akidah dan akhlak umat Islam, khususnya golongan muda. Tambahan pula Rasulullah SAW melarang kita daripada meniru amalan bukan dari ajaran Islam sebagaimana sabda baginda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

"Siapa menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka." (HR. Abu Daud, Ahmad dan lain-lain).

Oleh hal yang demikian, lupakan dan sisihkan sama sekali Hari Valentine dari laman hati, ingatan dan fikiran supaya tidak menjadi sebahagian daripada mereka yang sesat dan rugi. Sebaliknya, suburi dan teguhkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan cara mematuhi segala ajaran al-Quran dan sunnahnya.

Syukurilah dan kenangilah segala pengorbanan serta perjuangan baginda menyibar risalah Islam dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW sebagaimana dianjurkan oleh Allah SWT:-

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

”Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (S. Al-Ahzaab: 56).



Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Tiada ulasan: