08 Februari 2012

Amerika tutup kedutaan di Syria

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Perancis, Britain turut panggil pulang duta ekoran pergolakan

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menutup kedutaannya di Syria dan membawa keluar kakitangannya, termasuk duta Robert Ford berikutan kebimbangan terhadap keselamatan, kata Jabatan Negara semalam.

Pada masa sama, Perancis dan Britain memanggil pulang duta masing-masing berikutan pergolakan di negara itu.

“Amerika Syarikat menangguhkan urusan di kedutaan kami di Damsyik sejak 6 Februari. Duta Ford dan semua kakitangan Amerika Syarikat dibawa pulang ke tanah air,” kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Duland dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya 5,400 orang dibunuh dalam operasi selama 11 bulan kerajaan Syria terhadap penunjuk perasaan, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pihak berkuasa Syria menyalahkan keganasan itu terhadap kumpulan bersenjata dikaitkan dengan Al-Qaeda dan berkata lebih 2,000 askar dan polis dibunuh.

Kenyataan Nuland dibuat ketika tentera Syria melancarkan satu serangan ke atas Homs. Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh sehingga semalam, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

“Keganasan terbaru termasuk pengeboman di Damsyik pada 23 Disember dan 6 Januari meningkatkan kebimbangan bahawa kedutaan kami tidak lagi dilindungi daripada serangan bersenjata,” kata Nuland.

Kerajaan Syria gagal memberi maklum balas sebaiknya terhadap kebimbangan keselamatan Amerika Syarikat itu, katanya.

Jurucakap terbabit berkata, bahawa Ford meninggalkan Damsyik tetapi masih lagi kekal sebagai duta Amerika Syarikat ke Syria dan penduduknya.

“Sebagai wakil presiden, beliau akan meneruskan kerjanya dan bekerjasama dengan penduduk Syria sebagai ketua kepada pasukan Syria kami di Washington,” katanya.

Sementara itu, Perancis memutuskan untuk menarik balik dutanya dari Syria, berikutan pertumpahan darah berterusan menentang kebangkitan menggulingkan pemerintahan Bashar al-Assad.

“Kami memulakan perbincangan dengan rakan kongsi kami di Brussels untuk mengenakan sekatan sekali lagi,” kata Bernard Valero.

Britain turut memanggil semula dutanya ke Syria bagi perbincangan dalam protes berikutan regim meneruskan keganasan terhadap penunjuk perasaan, kata Setiausaha Luar, William Hague.

Dalam satu kenyataan kepada Parlimen selepas Russia dan China mengenakan kuasa veto bagi satu resolusi Majlis Keselamatan PBB, Hague berkata bahawa beliau memanggil semula wakil Syria ke London berikutan situasi bantahan di Syria. – Agensi

Tiada ulasan: