08 Februari 2012

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Proton rugi RM3.4b

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Semalam akhbar New Straits Times melaporkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah berkata bahawa Proton Holdings telah kehilangan sejumlah besar simpanan tunainya dari nilai RM4 bilion kepada jumlah yang begitu rendah sebanyak RM600 juta untuk menampung kerugian syarikat.

Menurut Dr Mahathir, pembuat kereta nasional, Proton telah mengumpul RM4 bilion sepanjang tempoh khidmat Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff sebagai CEO, tetapi jumlah tersebut telah menyusut ke paras RM600 juta sewaktu perkhidmatan penggantinya Datuk Mohammed Azlan Hashim.

Dr Mahathir juga menambah bahawa kerugian yang dialami juga disebabkan oleh penjualan MV Augusta kepada sebuah syarikat yang tidak dikenali bernama Gevi SpA pada tahun 2006 dengan harga 1 Euro, sungguhpun Proton telah membelanjakan lebih RM300juta untuk pegangan sebanyak 57%. Berikutan penjualan MV Augusta oleh Proton, BMW telah membayar 93 juta Euro atau RM446 juta pada waktu yang sama untuk pegangan satu pertiga dari MV Augusta.

Harley Davidson pula membeli baki pegangan MV Augusta untuk USD109 juta atau RM 360 juta pada waktu itu. Dalam kata lain, syarikat yang dijual oleh Proton pada harga 1 Euro atau RM4.80, telah dijual semula kepada BMW dan Harley Davidson pada harga berjumlah RM800 juta.

Seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir, kejatuhan Proton adalah disebabkan pengurusan yang lemah.

Oleh yang demikian, DAP menyeru supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk untuk menyiasat salah urus Proton dan kerugian berbilion ringgit yang dialami sepanjang waktu ini, terutamanya kerugian berjumlah RM3.4 bilion dalam bentuk simpanan tunai. Ini adalah satu perkara serius, memandangkan Proton adalah pembuat kereta nasional.

Siasatan haruslah menentukan sama ada kerajaan boleh mengurangkan kerugian dengan menggulung syarikat Proton secepat mungkin, atau mengambil risiko kerugian yang lebih besar seperti yang terjadi dalam perjanjian MV Augusta. Ini adalah satu keputusan yang sangat penting yang mesti dikaji dalam siasatan tersebut kerana rakyat Malaysia pastinya tidak mahu Proton terus kerugian.

Siasatan juga mesti melihat sama ada Khazanah Nasional, badan pelaburan kerajaan Malaysia, mendapat harga yang baik apabila ia menjual pegangan 42.7% dalam Proton kepada DRB-Hicom Bhd. Khazanah telah menjual pegangannya pada harga RM1.3 bilion atau RM5.50 satu saham, iaitu separuh daripada nilai book value Proton iaitu RM9.81 satu saham dan juga nilai asal yang dibayarnya iairu RM8 satu saham. Sekali lagi, ini adalah satu contoh pengendalian buruk kerajaan yang mengakibatkan kerugian kepada pembayar cukai.

Salah seorang individu yang bertanggungjawab membina simpanan tunai Proton sehingga berjumlah RM4 bilion ialah Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff. Oleh yang demikian, kami mencadangkan supaya Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff menjadi salah seorang ahli panel siasatan memandangkan beliau lebih memahami isu tersebut.

Siasatan itu akhirnya mestilah mencadangkan langkah-langkah yang perlu diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang begitu besar, dan langkah-langkah untuk membendung kerugian pada masa akan datang, terutamanya apabila membabitkan dana awam.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: