08 Februari 2012

Menitis air mata terima sumbangan Harakah

15 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MELAKA, 8 Feb: Seorang mangsa kemalangan hampir menitiskan air mata kerana terharu menerima kunjungan dan sumbangan daripada Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) di rumahnya di Kampung Bukit Pegoh, Telok Mas, di sini, baru-baru ini.

Ahmad Khir Muhamad, 33, yang mengalami masalah lumpuh sejak 12 tahun lalu disebabkan kecederaan tulang belakang selepas kemalangan jalan raya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan TKH dan Majlis Tindakan Dun (MTD) Telok Mas.

Menurut Penyelia MTD Telok Mas, Yusof Rahmat sumbangan dan kunjungan itu bertujuan meringankan kesusahan yang dialami mangsa dan sebagai tanda keprihatinan pihak MTD dalam membantu masyarakat setempat.

"Kami mengadakan konvoi bergerak dari rumah ke rumah di sekitar Telok Mas dan menyampaikan barangan keperluan harian serta wang tunai kepada golongan yang kurang bernasib baik dengan kerjasama TKH.

"Bila kita turun sebegini secara tak langsung kita dapat menyampaikan mesej PAS iaitu slogan Negara Berkebajikan dan kita dapat mendengar dengan lebih dekat lagi permasalahan orang kampung," ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa program tersebut akan dilaksanakan dari masa ke semasa agar nasib golongan yang memerlukan itu terbela dapat dibantu termasuk memanjangkan permasalahan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab.

Antara yang turut dikunjungi ialah Kasmani Resat, 77, yang terlantar disebabkan angin ahmar sejak sebulan lalu, manakala isterinya Rubiah Abdullah, 62, terpaksa dipotong sebelah kakinya kerana penyakit kencing manis.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: