21 Mac 2012

Suhaila dibedah sehari lebih awal

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Adik Nur Suhaila yang berlepas ke Dubai semalam, dijadualkan menjalani pembedahan hari ini (21 Mac), sehari awal dari tarikh ditetapkan Hospital Universiti Sharjah.

Perancangan sebelum ini, Nur Suhaila akan dibedah pada 22 Mac, namun hasil pemeriksaan Pengimejan Resonan Magnet (MRI) dan ultrasound dilakukan sebaik tiba di hospital tersebut, beliau perlu dibedah sehari lebih awal.

Menurut ibunya, Hanita Mohd Tahir, hasil pemeriksaan MRI dan ultrasound, Prof Dr Hossam Hamdy mencadangkan supaya pembedahan dilakukan lebih awal.

“Hal ini kerana, tidak mahu mele­ngahkan masa. Lebih cepat pembedahan dilakukan, lebih cepat Nur Suhaila sembuh kerana proses penyembuhan akan mengambil masa.

“Justeru katanya, Nur Suhaila akan dimasukkan ke wad lebih awal, dan perlu berpuasa sebelum menjalani pembedahan jam 9 pagi ini (1 te­ngah hari waktu Malaysia),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Difahamkan, pembedahan membuang salah satu rahim Nur Suhaila yang gagal berfungsi akan mengambil masa satu hingga dua jam. Nur Suhaila yang mengidap penyakit ‘Congenital Disorder’ mempunyai dua rahim, dan satu buah pinggang.

Nur Suhaila dan ibunya, selamat tiba di Dubai kira-kira jam 10 malam, waktu tempatan selepas perjalanan tujuh jam tanpa transit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 7.30 petang semalam.

Hanita berkata, sebelum ini pihak hospital memaklumkan tempoh rawatan di sini selama 10 hari, namun besar kemungkinan akan ditunda melihat kepada pemulihan Nur Suhaila selepas pembedahan.

Sehubungan itu, Hanita berharap pembedahan berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat. Beliau juga berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.

“Pihak hospital dan pakar di sini melayan kami dengan baik. Wad di sini juga selesa. Semoga segalanya berjalan lancar. Doakan keselamatan Nur Suhaila,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: