21 Mac 2012

Tidak perlu guna OSA jika Felda buat perkara betul

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Presiden Kumpulan Felda Global Ventures Holdings (FGVH), Datuk Sabri Ahmad tidak perlu bimbang dengan 'kebocoran maklumat' syarikat tersebut jika ia menunjukkan prestasi yang baik.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempersoal sikap Sabri yang dilihat seolah-olah bimbang dengan kebocoran beberapa dokumen sulit FGVH ke khalayak umum.

Katanya, kenyataan Ahmad bahawa Felda akan membuat laporan kepada pihak berkuasa berdasarkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) menunjukkan memang ada sesuatu yang tidak kena dengan FGVH.

"Ini satu perkembangan yang tidak sihat. Kalau Datuk Sabri dan Tan Sri Isa mengambil tindakan yang betul dan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia seuatu yang bagus, kenapa perlu bimbang? Mereka seharusnya bersikap terbuka.

"Atau mereka hanya pukul canang bahawa penyenaraian FGVH memang untuk kepentingan peneroka?" kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai FGVH agar tampil membantu Anak agar penyenaraian FGVH dibatalkan.

"Kenyataan Datuk Ahmad itu satu ugutan. Maklumat yang kita dedahkan sebelum ini pun bukan maklumat sulit.

"Jadi saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai FGVH atau sebagainya, tampil berbincang dengan Anak bagi memastikan penyenaraian FGVH tidak akan berlaku," kata Mazlan (Gambar).

Mazlan sebelum ini mendedahkan beberapa dokumen milik Felda dan menunjukkan satu laporan lengkap minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda di lobi Parlimen kepada media, Khamis lalu.

Sementara itu, Mazlan turut memberitahu, permohonan injunksi bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada FGVH akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan esok.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: