06 April 2012

Devan, 6 pemain terima surat amaran

14 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JURULATIH Johor FC, K Devan bersama enam pemainnya menerima surat amaran daripada pengurusan pasukan susulan persembahan hambar ditunjukkan dalam saingan­ Liga Super dan kegagalan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Pengurus pasukan, Wan Nizam Wan Omar berkata, surat amaran berkenaan diberikan kepada Devan dan enam pemain terbabit sebelum Skuad Lebah bertandang ke Terengganu untuk menentang pasukan pantai timur itu, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kesemua nama pemain yang menerima surat berkenaan dan memberikan maklumat lanjut mengenai hal itu.

“Johor FC sekadar seri dengan Terengganu. Mata yang diraih di Terengganu tidak mengubah kedudukan pasukan yang kini di tempat ke-14 dalam liga dengan 11 mata selepas mengharungi 11 perlawanan.

“Jurulatih bersama enam pemain ini sudah diberi surat amaran untuk pasukan kembali bangkit bermula dengan perlawanan menentang Terengganu. Pengurusan pasukan akan membuat keputusan mengenai nasib selepas selesai pusingan pertama perlawanan liga,” katanya.

Skuad Lebah bakal berdepan cabaran Lions XII di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, esok, sebelum bertemu Gergasi Merah Kuning, Selangor bagi perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super, 14 April depan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: