06 April 2012

Premis hiburan kantoi curi air

14 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pengurangan ketara penggunaan air sebuah premis hiburan di Jalan Loke Yew, Cheras di sini sejak setahun lalu membongkar kegiatan sambungan air secara haram yang dilakukan dan membawa kepada tindakan pemotongan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam.

Jumlah caj bil air yang kebiasaannya RM800 hingga lebih RM1,000 menurun kepada RM100 hingga RM300 sahaja sejak penyambungan haram itu dilakukan.

Lebih mengejutkan, jumlah kapasiti air yang dicuri iaitu 411.21 meter padu sehari, adalah bersamaan dengan penggunaan lebih 20 keluarga sehari.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, kegiatan itu bukan sahaja menafikan hak lebih 20 keluarga setahun tetapi juga menyebabkan kerugian sebanyak RM378,898.64 kepada Syabas.

Menurutnya, maklumat berhubung penyambungan air secara haram itu diterima hasil aduan daripada orang awam awal tahun ini dan siasatan mengenal pasti ia berlaku sejak Februari 2011 lagi.

“Semakan mendapati syarikat terbabit mempunyai akaun bekalan air dan meter yang sah dan berstatus aktif.

“Namun siasatan mendapati pihak terbabit membuat sambungan secara ‘by pass’ daripada sambungan ‘tee off’ sebelum meter milik premis dengan menggunakan paip ‘poly’ berukuran 50 milimeter,” katanya pada sidang media ketika operasi berkenaan, semalam.

Beliau berkata, aktiviti membanteras kegiatan mencuri air giat dijalankan Syabas dengan kerjasama Span dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang berkenaan.

Katanya, ia selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang tidak membenarkan sesiapa selain pemegang lesen membuat sebarang sambungan sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

“Mereka yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Untuk rekod, sejak 1 Januari 2011 sehingga kini, sebanyak 4,766 aduan berhubung kes curi air diterima di mana 4,740 disiasat, 796 disahkan sahih dan 10 kes dihadapkan ke mahkamah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: