06 April 2012

200kg abu al-Quran dilupus

14 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melupuskan kira-kira 200 kilogram (kg) abu al-Quran di perairan Terengganu iaitu sejauh kira-kira sembilan batu nautika, di sini, semalam mengikut tertib demi menjaga kesucian wahyu ALLAH itu.

Program Pelupusan al-Quran Lama dan Bahan-bahan Bercetak yang Mengandungi Teks al-Quran anjuran Bahagian Penyelidikan JHEAT itu diketuai Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penyelidikan) JHEAT, Mohd Noor Mohamad dan turut disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Muhammad Ramli Nuh.

Muhammad Ramli berkata, projek tersebut telah bermula November 2011 melibatkan kerja-kerja awal pelupusan termasuk daripada proses pengasingan, merincih serta pembakaran yang dilaksanakan secara manual oleh kakitangan JHEAT, Bahagian Penyelidikan secara separuh masa.

“Projek ini dilaksanakan bagi menjaga kesucian al-Quran daripada dicemari dan diletakkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Proses perlaksanaannya dilakukan pihak JHEAT mengikut garis panduan fatwa oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

“Jangka masa yang agak lama diperlukan kerana proses pelupusan dilakukan secara manual dan terlebih dahulu harus dipastikan helaian al-Quran diceraikan satu persatu daripada kulitnya sebelum dirincih,” katanya.

Menurutnya, proses pembakaran pula dilakukan dalam relau yang direka khas diperbuat daripada tong dram dan perlu dikawal apinya dari masa ke masa bagi mengelakkan ketidaksempurnaan hasil pembakaran.

“Setelah betul-betul yakin helaian tersebut hangus dan menjadi abu, barulah ia dikumpulkan lalu dimasukkan ke dalam karung plastik yang setiap satu mengandungi dua lapisan plastik. Pada hari ini (semalam), melibatkan sebanyak 33 beg plastik yang mengandungi lebih 200 kg abu al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelupusan al-Quran Lama dan Bahan-bahan Bercetak yang Mengandungi Teks al-Quran, di sini, semalam yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Laut Malaysia, Wilayah Timur.

Muhammad Ramli berkata, selain dihantar oleh individu yang dikumpul khususnya di masjid-masjid, abu al-Quran dan bahan-bahan berkaitan ‘dilepaskan’ itu juga adalah daripada Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu.

Menurutnya, dalam perkembangan berkaitan, JHEAT diminta menyediakan kertas kerja kepada Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu supaya pihak-pihak terlibat dapat menyediakan sebuah mesin pembakar khas (incenerator) sebagaimana dilaksanakan oleh Percetakan Saufi di Cheras.

“Sekiranya cadangan mengadakan ‘incenerator’ ini menjadi kenyataan, diharapkan JHEAT akan menggandakan usaha untuk mengumpulkan al-Quran lama yang rosak bagi tujuan dilupuskan apatah lagi diyakini pasti banyak al-Quran lama masih tersimpan di rumah ataupun masjid.

“Masyarakat harus mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kesucian al-Quran ini. Malah, ada kedai-kedai fotostat membuang kertas-kertas yang mengandungi ayat-ayat al-Quran secara mudah dan tidak diuruskan dengan sewajarnya,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: