25 April 2012

P.Pinang wujudkan akademi pembelajaran, badminton

3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bakal menyediakan pusat pembelajaran dan akademi badminton yang pertama khususnya kepada anak muda negeri itu.

Menurut Ketua Menterinya Lim Guang Eng, Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (PLC) dan Akademi Badminton Pulau Pinang (PBA) yang menelan belanja RM4 juta ini akan mengambil masa selama 18 bulan untuk siap.

Beliau percaya bahawa PLC dan PBA akan memberikan khidmat kepada masyarakat dari segi menyediakan lokasi yang unik di mana pelajar yang kurang bernasib baik akan mempunyai tempat yang sesuai untuk mengikuti kelas tuisyen dan mempelajari bahasa baru serta cemerlang dalam badminton.

Katanya, pembinaan kedua-dua tempat berkenaan disumbang oleh Yayasan ECMLibra dan 3 rakan kongsinya iaitu, Lim Kian Onn, Dato' Seri Kalimullah Hassan dan Dato' David Chua Ming Huat.

Tanah seluas 2.9 ekar milik Kerajaan Negeri ini terletak berhampiran Kampung Buah Pala di Sri Delima dan Bukit Gelugor.

Pembinaan Pusat Pembelajaran Pulau Pinang dan Akademi Badminton Pulau Pinang akan memenuhi keluasan sebanyak 1 ekar.

Apabila siap, katanya dua buah bangunan tersebut akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri yang juga akan menguruskannya.

"Sebuah perpustakaan, tujuh buah kelas bahasa dan tuisyen, enam hingga lapan gelanggang badminton dan kantin akan disediakan.

"Antara bahasa yang akan diberi tumpuan ialah bahasa asing selain daripada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Pengguna juga boleh mendapatkan makanan dan minuman di dalam bangunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan ECM Libra yang telah banyak menyumbang ke arah menggalakkan pendidikan dan penguasaan bahasa terutamanya untuk generasi muda.

Katanya, ini akan membantu Pulau Pinang mencapai aspirasi menjadi sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, selamat dan sihat.

Baru-baru ini, ECA International mengesahkan George Town sebagai bandar yang paling sesuai didiami di Malaysia, menduduki tangga ke-8 di Asia dan 73 di peringkat global.

George Town mendahului Kuala Lumpur buat pertama kalinya pada 2011 apabila mengekalkan kedudukannya sebagai bandaraya paling selamat didiami di Asia manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 9.

George Town membuktikan bahawa pencapaian ini adalah bukan suatu kebetulan tetapi suatu fakta apabila George Town mengekalkan kedudukan bandar ke - 8 paling selamat didiami di Asia pada tahun 2012, manakala Kuala Lumpur turun ke tangga 10.

Harakah Daily

Tiada ulasan: