25 April 2012

Liga Juara: Di Matteo anggap pencapaian Chelsea luar biasa

3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

PENGURUS sementara Chelsea, Roberto Di Matteo menganggap kejayaan pasukannya layak ke peringkat akhir Liga Juara-juara merupakan satu pencapaian luar biasa pemainnya setelah menewaskan Barcelona.

Chelsea yang beraksi dengan 10 orang pemain, nyata tidak tergugat dalam memperoleh kemenangan apabila berjaya mengatasi Barcelona dengan kiraan agregat 3-2 selepas seri 2-2 di Stadium Nou Camp.

"Dengan kemenangan ini kita telah buktikan kemampuan sebenar pemain kepada pihak yang selama ini memandang rendah terhadap Chelsea.

"Kita tahu Barcelona adalah sebuah pasukan yang hebat, namun kami telah buktikan yang kelab ini mampu melakukannya walaupun berhadapan dengan kelab terhebat dunia," kata Di Matteo.

Insiden membabitkan kapten Chelsea, John Terry yang menerima kad merah pada minit ke-35, tidak menimbulkan kemarahan Di Matteo, sebaliknya memberi pujian kepada pemain itu kerana beraksi dengan semangat yang tinggi pada perlawanan tersebut.

"Terry adalah seorang ketua yang hebat, dan bagi saya semua orang pernah melakukan kesilapan, apa yang penting semangat yang ditunjukkan oleh Terry patut dibanggakan," tambah beliau.

Chelsea bakal bertemu dengan pasukan Real Madrid atau Bayern Munich yang akan bersaing dalam merebut satu lagi tiket ke pentas akhir Liga Juara-juara, awal pagi esok (waktu Malaysia).

Sinar Harian

Tiada ulasan: