25 April 2012

Restoran milik VIP dikesan curi air

3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Sebuah restoran dipercayai milik seorang kenamaan atau VIP bergelar Datuk diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam kerana disyaki mencuri air sejak tiga hari lalu.

Restoran terletak di Seremban 2, dekat sini itu dipercayai melakukan sambungan­ haram untuk kegunaan harian premis yang baru dibuka Sabtu lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Penguat kuasaan Sains dan Span diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Span (Bhepp Span), Mohadir Hid, dalam pemeriksaan kira-kira 12 tengahari.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya mendapati wujud penyambungan paip tanpa kebenaran di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati sambungan secara tidak sah berkenaan dilakukan menggunakan paip jenis mudah lentur bersaiz 15 milimeter (mm).

“Hasil ujian klorin yang dilakukan menunjukkan air berkenaan adalah air terawat milik Sains,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, pihak Span telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan terhadap pemilik premis dan paip itu disita untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

“Siasatan awal mendapati air itu dipercayai digunakan untuk kegunaan harian premis berkenaan,” katanya.

Azlan berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan terhadap kegiatan mencuri air di seluruh negeri ini tanpa mengira kes membabitkan pengguna komersial atau domestik.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 untuk tindakan lanjut dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: