11 Julai 2012

Fokus Parlimen Jerantut: PR sedia tawan Jerantut

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

JERANTUT - Pakatan Rakyat (PR) Jerantut meletakkan keyakinan tinggi untuk memberi sangat sengit pada PRU 13 kelak, ditambah hasrat pengunduran Tengku Azlan antara yang memberi laluan dan harapan cerah parti lawan untuk menang.

Pengerusi PR Jerantut, Dr Hamzah Jaaffar berkata, bagi kesemua kerusi Dun dan Parlimen Jerantut, muka-muka baru akan diletakkan sebagai calon bertanding kelak, yang terdiri daripada kepimpinan muda.

Menurutnya, pemilihan kepimpinan muda dilakukan berikutan sokongan pengundi muda khususnya saluran 3 dan 4 memberangsangkan, dan membuktikan keyakinan mereka kepada PR dan Pas Kawasan Jerantut.

“PR melihat PRU 13 mempunyai peluang cerah untuk menawan kerusi Parlimen Jerantut, kerana gelombang perubahan pemikiran rakyat yang mahukan pembaharuan sedang giat berlaku.

“Senario politik kini memperlihatkan gelombang perubahan ini dizahirkan di seluruh kerusi parlimen dalam negara ini, khususnya kalangan pengundi muda yang menuntut pelbagai perubahan dan pembaharuan dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, sekiranya Parlimen Jerantut juga meletakkan calon muda mewakili BN kelak, ia tetap tidak menggugat Pas dan PR, berikutan rakyat sememangnya sudah bosan dengan BN.

Menurutnya, PR Jerantut sendiri antara yang bakal memberikan saingan sengit mendepani PRU 13 kelak, serta memastikan beroleh kemenangan walau tidak pada keseluruhan Parlimen, tetapi pada kerusi Dun yang disasarkan.

“Senario perubahan pucuk pimpinan dalam Umno Jerantut juga memberi kelebihan kepada kita, justeru komponen PR di sini tidak akan membiarkan BN menang selesa di Parlimen Jerantut. Kita juga sudah menghantar senarai pencalonan kepada pusat untuk dipertimbangkan, dan pastinya bagi berdepan cabaran BN, kita juga menggunakan sifir yang sama iaitu meletakkan kepimpinan muda sejajar dengan perubahan dimahukan akar umbi,” katanya.

Dr. Hamzah berkata, kerusi Dun Damak dan Dun Tahan antara yang memberi harapan cerah untuk PR tawan.

Menurutnya, PR Jerantut menyerahkan kepada pusat untuk menentu dan menyaring calon bagi diletakkan untuk bertanding di kerusi Dun Damak, namun yang pasti bagi PRU 13 kali ini percaturannya adalah menentang secara dua penjuru.

“Arus perubahan dan selera pengundi antara yang semakin ketara memberikan gambaran awal PR boleh menang besar.

"Walau kita berdepan halangan penyampaian maklumat penyelewengan Umno kepada pengundi saluran satu dan dua, namun PR berpuas hati kerana penyampaian maklumat dan kesedaran dapat diberikan kepada saluran muda yang celik IT, serta berpihak kepada PR,” katanya.

Dr. Hamzah berkata, PR Jerantut optimis bakal memenangi salah satu kerusi pada PRU 13 kali ini, ditambah peneroka di tanah rancangan Felda sendiri bukan lagi kubu kuat BN berikutan pelbagai isu berbangkit tidak selesai yang memberikan tamparan kepada peneroka.

“Kita gembira kerana sokongan kaum Cina kepada PR semakin meningkat menerusi pertambahan cawangan Dap , selain Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) turut dapat menarik lebih ramai kaum India bersama PR.

“Begitu juga bagi masyarakat Melayu dan orang asli yang turut menolak BN serta berpihak kepada PR,” katanya.

Dr Hamzah juga turut mengesahkan bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Jerantut kelak menentang BN, manakala Pengarah Operasi Bagi Dun Pulau Tawar, Yohanis Ahmad dan Alif Faizal dari ANAK, dicalonkan untuk kerusi Dun Pulau Tawar.

Bagi kerusi Dun Tahan, PR Jerantut menyenaraikan dua pencalonan iaitu Pengarah Operasi Dun Tahan, Zakuan Ahmad Badarudin dan beliau sendiri, untuk bertanding mewakili Pas di kawasan berkenaan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: