21 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank Kelantan (NUBE) Cawangan Kelantan / Terengganu melahirkan rasa kesal apabila sebuah bank tempatan sanggup memotong gaji pekerja yang menunaikan solat pada waktu kerja lebih masa.
Pengerusinya, Mohd Azhar Yusof berkata, tindakan bank tersebut bersikap mendiskriminasikan pekerja-pekerja yang beragama Islam dengan mengeluarkan arahan berbau ugutan serta galakan agar pekerja tersebut meninggalkan solat demi kepentingan wang dilihat tidak wajar.
“Antara arahan yang dikeluarkan ialah, masa yang diambil untuk makan tengah hari atau malam, solat dan sebagainya pada waktu kerja lebih masa hendaklah ditolak daripada jumlah jam bekerja.
“Bagi kami tindakan tersebut adalah zalim dan tidak menghormati agama Islam kerana perkara yang berkaitan dengan solat tidak boleh dimain-mainkan kerana ia adalah wajib dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini, selepas membuat aduan kepada JHEAIK di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.
Hadir sama pada sidang media tersebut, Timbalan Pengerusi NUBE, Wan Mohd Afendi Hussein.
Menurutnya, demi kesucian agama Islam pihaknya memohon agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) membuat siasatan dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum amalan yang dilakukan oleh bank tersebut menjadi turutan oleh bank-bank lain.
Beliau berkata, diharap perkara tersebut tidak berlaku pada organisasi lain yang mempunyai pekerja Islam kerana ia seharusnya tidak berlaku.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan