11 Julai 2012

JHEAIPP adakan operasi sepanjang Ramadhan

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri melalui Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan meneruskan usaha dan melipatganda operasi untuk mencegah orang ramai melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan sama ada pada waktu siang mahupun malam hari.

“Sepanjang Ramadan pada tahun ini, JHEAIPP akan menjalankan 3 operasi yang dinamakan Ops Jejak yang menumpukan kesalahan tidak hormati Ramadan, Ops Judi bagi kesalahan berjudi dan Ops Noda bagi kesalahan khalwat, maksiat dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim.

(Gambar: Abdul Malik bersama Pegawai Jaipp melihat banner iklan program sepanjang Ramadan 1433 sejurus selepas sidang akhbar di pejabatnya.)

Katanya, Ops Jejak akan menumpukan di gerai-gerai makanan, restoran, pusat membeli belah, dan tempat-tempat awam bagi memastikan orang Islam tidak makan minum atau seumpamanya yang boleh mencemarkan kesucian bulan yang penuh keberkatan ini.

Tambahnya, operasi juga akan dijalankan pada waktu malam di persisiran pantai, hotel, premis hiburan, rumah urut dan seumpamanya.

Umat Islam yang didapati tidak menghormati Ramadhan akan didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang Tahun 1996, memperuntukan kesalahan di bawah seksyen 15 yang menyebut:

Seksyen 15. Mana-mana orang, yang pada waktu berpuasa, dalam bulan Ramadan –

a) Menjual kepada mana-mana orang-orang Islam, apa-apa makanan, minuman atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta merta dalam waktu itu:

b) Secara terbuka, atau di tempat awam didapati, minum atau menghisap rokok, atau benda lan yang seumpamanya,

Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Kerajaan negeri juga menyediakan 2 talian Hotline untuk mana-mana pihak melaporkan kesalahan jenayah Syariah kepada bahagian penguatkuasa Bahagian Pulau (019 - 425 6917) Bahagian Seberang Perai (013 - 441 9300)

Aduan juga boleh dibuat melalui e-AduanMaksiat:
http://penguatkuasajaipp.blogspot.com/p/aduan-online_01.html

Harakah Daily

Tiada ulasan: