11 Julai 2012

Indonesia beri IMF pinjaman RM3.2 bilion

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Indonesia mengesahkan akan memberi pinjaman AS$1 bilion (RM3.2 bilion) kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas kata sepakat dicapai dalam perbincangan antara Pengerusi IMF, Christine Lagarde dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, semalam.

Menteri Penyelaras Ekonomi Indonesia, Hatta Rajasa mengesahkan, pinjaman dalam bentuk bon itu dibuat daripada dana Bank Indonesia dan bukannya dari peruntukan negara.

"Kami mengenakan syarat, bahawa IMF perlu menyalurkan bantuan ini dengan tidak mengehadkan kepada zon Eropah sahaja, bantuan perlu disalurkan juga kepada negara Asia dan Afrika," katanya.

Manakala, Gabenor Bank Indonesia, Darmin Nasution yang turut terlibat dalam perbincangan terbabit mengesahkan bank pusat akan membeli bon IMF yang dilihat sebagai deposit kukuh dan kekal sebagai rizab negara.

Beliau berkata, IMF kini mempunyai dana AS$436 bilion (RM1.4 trilion) dan bantuan dana dari Indonesia itu hanya akan digunakan sekiranya jumlah dana IMF berkurang kepada AS$100 bilion (RM318 bilion).

"Kebarangkalian dana IMF menyusut amat tipis, kami yakin pinjaman yang diberikan oleh negara ini mungkin tidak akan digunakan," katanya.

Sementara itu, Lagarde berkata, 188 negara anggota IMF kini diambang krisis ekonomi yang serius dan memberi kesan teruk kepada negara berpendapatan rendah.

sinar harian/-

Tiada ulasan: