3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
SEMPORNA - Lebih 600 penghuni perkampungan air di sini, tinggal
sehelai sepinggang apabila rumah mereka yang terletak di Kampung
Selamat, Simunul hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran
semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan 81 buah
rumah papan yang diduduki lebih 600 penghuni sejak lebih 20 tahun lalu
itu musnah dijilat api.
Akibat kejadian itu, lima orang penduduk cedera kerana melecur dan mereka menerima rawatan lanjut di Hospital Semporna, Sabah.
Kampung Selamat merupakan sebuah perkampungan padat dengan jumlah
penghuni sekitar 3,000 orang yang difahamkan kebanyakannya terdiri
daripada pelarian Filipina semasa krisis peperangan di negara terbabit
pada tahun 70-an.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd. Razali Ag. Ahmad
berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi
kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 11.41 pagi.
Katanya, operasi memadamkan api turut dibantu sebuah jentera dan 12
anggota dari Balai Bomba Tawau selain dua jentera utiliti bersama tujuh
anggota dari Kunak.
"Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa hampir dua jam berikutan
kedudukan rumah terbabit yang begitu rapat antara satu sama lain.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 3.53 petang," katanya di sini semalam.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, jumlah kerugian mencecah kira-kira RM938,000 dan punca kejadian masih disiasat.
Semua mangsa kebakaran terbabit akan ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna.
kosmo/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan