3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM: Polis mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan
bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di
sini petang Khamis hanya melibatkan enam pekerja binaan warga Indonesia,
dengan seorang daripadanya maut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata pada mulanya,
pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam
kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali
sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.
Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada
10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Dalam kejadian petang Khamis, seorang buruh binaan yang dikenali
sebagai Totok Mochamad Anthony (seperti dalam papan kenyataan polis)
maut.
Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24
petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk
bedah siasat.
Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali
sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut
dihantar ke HTAR.
Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira
4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A,
Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman
Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas
mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.
Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi
mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk
menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa
keluar.
"Konkrit agak berat termasuk dengan timbunan batu dan bomba terpaksa
memotong beberapa bahagian runtuhan dalam keadaan sempit, kren pertama
yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan dan tidak membantu,"
katanya.
Beliau berkata pihak bomba memanggil mangsa namun tidak disahut dan
tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan masih ada yang terperangkap
di bawah runtuhan itu.
Othman juga berkata kerja pembersihan di kawasan runtuhan itu akan diteruskan sepanjang malam.
Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.
Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan