19 Oktober 2012

Sofyia si gadis besi

3 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Sofyia si gadis besi
Besi khemah yang siap dikimpal Sofyia.
Sofyia si gadis besi
 
Sofyia
 
KANGAR - Walaupun ramai yang menganggap pekerjaan sebagai juru kimpalan ini tidak sesuai dengan wanita namun, ia tidak pernah mematahkan semangat gadis berdarah kacukan ini melakukan pekerjaan yang biasanya dimonopoli golongan Adam.

Malah, perwatakannya yang ayu menyebabkan umum tidak menyangka bahawa dia merupakan seorang juru kimpal yang berkebolehan walaupun di usia muda.

Kegigihan Sofyia Lim Sabtu, 22, dalam mengejar cita-cita dan impiannya juga sewajar menjadi contoh kepada golongan remaja.

Menurutnya, bagi merealisasikan impiannya itu dia tidak kisah apa tanggapan orang ramai, malah menganggap kritikan itu sebagai pendorong dan semangat untuk dia terus berjaya dan menjadi contoh kepada gadis lain.

Malah, dia merupakan pelajar perempuan pertama yang menukar kursus yang diambil bagi mengikuti kursus mekanikal am.

“Saya mula berkecimpung dalam bidang kimpalan ini semasa mengikuti kursus GiatMara selama enam bulan selepas saya menamatkan pelajaran di dalam Sijil Mekanikal Am di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Ulu Pauh selama dua tahun.

“Tidak ramai golongan wanita yang menceburi bidang ini kerana ia memerlukan seseorang yang lasak, namun, disebabkan minat yang mendalam membuatkan saya tekad menceburi bidang ini sekali gus menolak tanggapan orang ramai bahawa wanita takut untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Kumpul modal buka bengkel

Sofyia berkata, bagi memastikan impiannya tercapai dia sanggup menghabiskan masa remaja dengan melakukan pelbagai kerja sambilan bagi mengumpulkan modal membuka perniagaannya dalam bidang kimpalan.

Menurutnya, dia kini mampu menarik nafas lega kerana hasil usaha dan minatnya yang mendalam dalam bidang kimpalan dia berjaya membuka sebuah bengkel tanpa bergantung kepada orang lain.

Perniagaan yang dibukanya sejak awal tahun ini banyak menjadikannya lebih mahir dalam bidang ini dan mendapat sambutan baik daripada pelanggan walaupun mereka tahu ia  dilakukan oleh seorang wanita.

Sofiyia berkata, seperti insan lain sudah tentunya dia ingin memperluaskan lagi perniagaannya. Dia juga bercadang membekalkan kelengkapan kejuruteraan, kimpalan besi dan fabrikasi logam.

Dia juga berharap hasrat itu dapat berjalan seperti yang dirancang.

“Sokongan dan dorongan daripada keluarga dan kenalan terdekat menguatkan lagi semangat saya untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana pihak untuk membuka bengkelnya, namun untuk proses pembesaran kedai buat kali kedua dia perlu membuat pinjaman.

Baginya dia tidak pernah takut berhadapan dengan percikan api kerana setiap percikan api merupakan sumber rezeki untuknya dan pembakar semangatnya dalam mengetengahkan bidang itu.

“Apa yang mengecewakan saya terdapat sesetengah masyarakat tidak yakin dengan kebolehan  saya dalam bidang kimpalan, namun disebabkan minat saya akan berusaha melakukan kerja yang diamanahkan kepada saya sebaik mungkin.

“Bukan mudah untuk kita mencapai sesuatu, tetapi untuk menjadikan sesuatu yang diingini berjaya kita harus menempuh pelbagai cabaran dan akhirnya kita boleh tersenyum dengan melihat sendiri kejayaan yang kita peroleh pada masa depan,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: