29 November 2012

Pecat guru: NGO serah memo kepada Jawi

15 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: NGO Inisiatif Selamatkan Insan Tertindas (Insan) hari ini menyerahkan memo bantahan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung pemecatan seorang kakitangan jabatan itu yang disifatkan sebagai bermotifkan politik.

Koordinator Insan, Mohd Faris Abdullah menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Jawi pada jam 11.30 pagi  tadi, di pejabat Jawi.

Hampir 20 orang menyertai rombongan menyerahkan memorandum tersebut.

Turut serta termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nuridah Salleh, Ketua Penerangan Muslimat Wilayah Salbiah Wahab dan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Sebelum ini seorang kakitangan sementara Jawi, Qatrun Nada Latfi, yang bertugas sebagai guru sementara di Labuan telah menerima notis pemecatan sebulan.

Pemecatan itu didakwa ada kiatan dengan tindakan beliau menghadiri menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 September lalu.

Qatrun Nada telah disiasat 22 Oktober lalu dan menerima notis pemecatan yang akan berkuatkusa 1 Disember ini.

Bagaimanapun, notis yang diterima beliau pada 24 Oktober itu tidak menyatakan sebab-sebab pemecatan secara terperinci.

Sebelum pemecatan tersebut, Qatrun Nada menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai orang kuat Umno Labuan pada 9 Oktober lepas.

Dalam panggilan itu, individu berkenaan memberi amaran kepada Qatrun Nada agar tidak terlibat dengan kegiatan politik pembangkang.

Qatrun Nada merupakan seorang guru yang bertugas di Sekolah Rendah Agama Islam Rancha-rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau dilantik sebagai guru sementara di bawah Jawi.

Beliau merupakan bekas penuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan.

Beliau juga merupakan bekas Ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang terlibat dalam demonstrasi menuntut air bersih di UMS Labuan pada 2009.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: