29 November 2012

Remaja nekad redah api

15 Muharram 1433H. [MOD] -

Remaja redah api
Anggota bomba dibantu penduduk kampung berusaha untuk memadamkan kebakaran, semalam. Gambar kecil : Nurul Syafikah
 
TELUK INTAN - “Walaupun bahaya dan boleh membawa kecederaan serius, saya nekad masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan sijl-sijil penting milik saya,” kata Nurul Syafikah Ahmad, 16, salah seorang anak mangsa kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Nibong, di sini, semalam.

Katanya, dia bertindak nekad walaupun menyedari api marak ketika itu demi menyelamatnya dokumen penting miliknya.

Menurutnya, antara sijil yang bermakna buat dirinya adalah sijil Malaysian Book Of Records (MBO) untuk projek yang dibuatnya bersama rakan sekelas bagi acara Berjalan 10,000 langkah dan acara senamrobik 1 Malaysia ketika di sekolah kebangsaan dahulu.

“Saya tahu keadaan ketika itu amat membahayakan sehingga boleh menyebabkan kecederaan serius. Saya sanggup masuk semula ke dalam rumah walaupun api marak ketika itu untuk menyelamatkan sijil-sijil penting milik saya.

“Walaupun kehilangan tempat berteduh, saya bersyukur kerana kesemua ahli keluarga selamat dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah papan itu,”
katanya.

Pada kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus dalam kebakaran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Hairam Kasran berkata, dua jentera bomba bersama tujuh anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian dalam usaha untuk memadam kebakaran.

Hairam berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal dan memadam keseluruhan kebakaran tersebut.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan juga jumlah kerugian masih dalam siasatan kami,” katanya.

Sementara itu, sepupu Nurul Syafiqah, Norhayati Jamaluddin, 27, berkata, sebelum kejadian, mereka sekeluarga sedang berehat di tingkat atas rumah sambil menonton televisyen.

Menurutnya, dia terhidu bau getah terbakar datang dari arah belakang rumah sebelum api marak dari arah belakang rumah secara tiba-tiba.

Menurutnya, terkejut dengan keadaan itu, dia menjerit meminta semua keluar dari sambil mendukung anaknya berusia dua tahun.

“Api yang marak begitu cepat sehingga kami sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbangkan keselamatan kami.

“Semua harta benda termasuk barangan elektrik, barangan perabot dan semua dokumen penting hangus sekelip mata malah anjung rumah kami ini pun baru sahaja diubahsuai dengan harga RM20,000,” katanya.

Kejadian itu turut menarik perhatian beberapa ahli politik, pegawai-pegawai kerajaan dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil dan menghulurkan bantuan berupa wang tunai kepada mangsa kebakaran.

sinar/-

Tiada ulasan: