29 November 2012

Pengundi luar negara: SPR tidak tepati janji

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menepati janjinya untuk memberi peluang kepada pengundi-pengundi luar negara mengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Menurut Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, SPR sepatutnya membentangkan 'statute paper' dan menteri seharusnya memaklumkan kepada parlimen berkenaan pindaan Peraturan Pengurusan Perjalanan Pilihan Raya.

"Malangnya ia tidak ada, sedangkan hari ini adalah sidang parlimen terakhir sebelum pilihan raya yang dijangka berlaku pada bila-bila masa," katanya kecewa.

Jelas Fuziah, sewaktu SPR berjumpa ahli-ahli Parlimen mereka mengatakan kertas tersebut akan dibentangkan pada sidang parlimen kali ini.

"SPR telah menafikan hak rakyat yang berada di luar negara untuk mengundi," katanya.

Turut bersama dalam sidang media ini, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahamud.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli berkata, perkara ini sudah diputuskan dalam Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya (PAC) yang dibentangkan pada April lepas.

Malah katanya, perkara ini tidak melibatkan perlembagaan dan ianya hanya peraturan di bawah kuasa SPR sahaja.

"Jadi kita beranggapan setelah jaminan diberi dan diputuskan dalam PAC, ianya akan dibentangkan. Tetapi sampai hari ini tidak ada satu pindaan, maka statusnya sama.

"Jadi tidak ada kemajuan baik pulih dan penambahbaikan pilihan raya seperti mana yang kita minta," katanya dalam sidang media.

Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw meminta SPR menjelaskan mengapa mereka tidak dapat menunaikan janji untuk membuat pindaan tersebut dalam sidang parlimen kali ini.

"Apa sebab musababnya, adakah SPR akan bentang pada Mac 2013 nanti?" tegasnya.  

harakah/-

Tiada ulasan: