12 November 2012

Zakat online cara mudah tunai tanggungjawab zakat

27 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Portal Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), menerusi www.zakat.com.my , bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai perkhidmatan pembayaran zakat secara dalam talian (online) malahan meningkatkan jumlah pembayar zakat.
  
Sejak dilancarkan pada Ogos tahun lepas, Portal PPZ-MAIWP yang boleh dilayari di www.zakat.com.my nampaknya berjaya menggunakan teknologi ICT bagi memberi kemudahan kepada pembayar zakat, yang tidak berkesempatan mengunjungi kaunter zakat, menunaikan tanggungjawab zakat mereka pada bila-bila masa .
  
Ini berdasarkan statistik pembayaran zakat melalui potongan gaji zakat (Skim Thohir) atas talian dari Ogos-Disember 2011. PPZ menerima jumlah bayaran zakat sebanyak RM266,638.28 daripada 740 pembayar. Ia menyumbang sebanyak 10 peratus daripada kutipan zakat di portal PPZ-MAIWP.
  
Lebih mengembirakan, Januari-Ogos tahun ini sahaja, jumlah pembayar zakat potongan gaji melalui atas talian terus meningkat seramai 613 pembayar dengan kutipan sebanyak RM75,878.
 
SKIM THOHIR
 
Menurut Pengurus Besar Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan perkhidmatan potongan gaji zakat itu dinamakan Skim Thohir (suci).
  
"Thohir bermaksud suci dan membabitkan skim potongan gaji zakat berjadual. Portal ini menyediakan kemudahan pembayaran ke atas semua jenis zakat iaitu zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat emas, zakat saham dan zakat KWSP."
  
Kemudahan Skim Thohir secara online diperkenalkan bagi memudahkan lagi pembayar zakat. Pengguna dan pembayar zakat dialu-alukan menggunakan kemudahan Skim Thohir online ini kerana mereka boleh mentaksir zakat dan taksiran tersebut akan disimpan dalam Rekod Taksiran.
  
Pengguna juga boleh mencetak, memadam atau membayar zakat yang telah ditaksir kerana ia mengandungi jumlah taksiran tahunan dan bulanan.
  
Mohammed berkata langkah untuk membuat pembayaran zakat secara pemotongan gaji menerusi skim yang diperkenalkan PPZ-MAIWP ini sangat mudah.
  
Pembayar hanya perlu mengisi Borang Kebenaran Potongan Gaji (PPZ 052) secara online dan pihak PPZ-MAIWP akan membuat susulan kepada bahagian gaji atau majikan pembayar. Proses ini mengambil masa dalam tujuh hari bekerja untuk tindakan selanjutnya.
 
KELEBIHAN POTONG GAJI ZAKAT ONLINE
 
Beliau turut menyenaraikan faedah yang diperoleh pengguna menerusi skim berkenaan. Selain membolehkan taksiran zakat dilakukan sendiri secara online, pembayar zakat juga boleh mengisi borang potongan gaji secara online.
  
Manakala segala urusan potongan gaji akan dikendalikan sepenuhnya oleh PPZ-MAIWP dengan pihak majikan. Pembayar juga boleh melakukan semakan penyata secara online.
 
Bagi pembayar yang telah membuat bayaran zakat di kaunter-kaunter zakat di Wilayah Persekutuan, mereka juga boleh membuat semakan pembayaran rasmi dengan cara mendaftar terlebih dahulu di portal berkenaan.
  
Kemudahan lain, pembayar boleh memohon salinan resit dan penyata melalui e-mel dan akan dipos ke alamat yang didaftarkan. Malah pembayar juga boleh mencetak rekod bayaran yang telah dibuat.
 
KEWAJIPAN BERZAKAT

 
Zakat diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang mencukupi syarat-syarat berzakat iaitu Islam, merdeka, milik yang sempurna, cukup nisab, cukup haul dan niat untuk berniaga.
  
Sebagaimana firman Allah di dalam Al-Quran: "Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu kerjakan." Al-Baqarah: 110
  
Sebagai satu daripada rukun Islam yang lima, kewajipan menunaikan perintah dan ibadah kepada Allah ini bertujuan untuk memberi ketenangan serta pendapatan yang berkat kepada si pembayar zakat. Manakala di pihak yang layak menerima zakat(asnaf) pula, hasil kekayaan itu dapat dirasai bersama dan membantu mengurangkan beban kesusahan mereka.
  
Oleh itu ibadat zakat yang diwajibkan adalah pembahagian harta kekayaan yang dimiliki oleh golongan kaya kepada golongan miskin mengikut peraturan yang ditetapkan oleh syarak. Dengan cara ini, semua golongan manusia dapat merasai nikmat kurniaan Allah s.w.t yang terdapat di muka bumi ini.
  
Menurut Mohammed, pihak PPZ-MAIWP turut berharap dengan kemudahan pembayaran zakat secara dalam talian ini, mereka yang layak membayar zakat dapat segera menunaikan zakat yang wajib ke atas mereka. Ia sekaligus dapat meningkatkan kutipan zakat dan membantu mereka yang memerlukan terutama di Wilayah Persekutuan.
 
BAYARAN ZAKAT DAN CUKAI INDIVIDU

 
Beliau turut menjelaskan bahawa mereka yang membayar zakat boleh mendapat rebat cukai pendapatan individu seperti yang terdapat dalam akta Rebat Zakat Individu (Mastautin).
 
Bayaran zakat dibenarkan potongan sebagai rebat di bawah Sek 6A (3) ACP 1967 yang berkuatkuasa mulai tahun 1978:
  
'Rebat hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.'
  
Beliau menambah, bagi kemudahan rebat bulanan atas Potongan Cukai Berjadual (PCB), majikan boleh menyelaraskan potongan cukai bulanan zakat daripada potongan cukai bulanan membayar cukai di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
  
Penyelarasan terus hendaklah dibuat dengan mengambilkira amaun zakat dan mengurangkan daripada PCB sesuatu bulan.
  
Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pusat panggilan PPZ nombor 1-300-88-5757 atau layari laman web www.zakat.com.my . - Bernama

Tiada ulasan: