12 November 2012

Telefon awam: Terbiar tanpa penyelenggaraan

27 Zulhijjah 1433H. [MOD] -
 
Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
Keadaan telefon awam di sekitar bandar Pekan.
Keadaan telefon awam di sekitar bandar Pekan.
 
Keperluan telefon awam kian terhakis dek arus kemodenan sekali gus membawa kepada cara berkomunikasi lebih mudah melalui lambakan peralatan jauh lebih canggih.

Kewujudan telefon bimbit pelbagai bentuk dan warna, ringan serta mampu dibawa ke mana sahaja, selain harga mampu milik menjadikan ia pilihan utama sekali gus meminggirkan kewujudan pondok telefon yang fungsinya kini boleh dikatakan tidak lebih sekadar hiasan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pondok awam di sekitar bandar dan perumahan seakan terbiar tanpa penyelenggaraan, malah ada di antaranya menjadi sasaran pelaku vandalisme.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk Ishak Muhamad berkata, gejala vandalisme dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja perlu dibanteras sebelum ia menular dan menjadi budaya.

Menurutnya, kebanyakan remaja tidak menghargai harta benda disediakan kerajaan seperti telefon awam yang perlu dijaga demi kebaikan bersama, malah ada di antara mereka menjadi perosak.

“Saya hairan dengan sikap sesetengah remaja yang masih tidak mengetahui kepentingan kemudahan seperti telefon awam yang semakin dipinggirkan, malah mereka sanggup merosakkannya.

“Pada saat-saat kecemasan, masyarakat terutama mereka yang tidak mempunyai kemudahan tersebut di rumah terpaksa bergantung kepada perkhidmatan awam tersedia,” katanya.

Ishak berkata, jika telefon awam rosak dan tidak boleh digunakan lagi, keadaan itu akan menyusahkan masyarakat terutama golongan berada dalam kesusahan kerana mereka tidak dapat menyelesaikan masalah dengan kadar segera.

“Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting untuk mendidik anak di awal usia dan mendedahkan keburukan kegiatan vandalisme kepada diri masyarakat.

“Jika ibu bapa tidak menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak, bagaimana mereka mahu menjadi anggota masyarakat yang baik dan tidak terbabit dengan masalah sosial?" katanya.
Menurutnya, masalah tersebut memerlukan kerjasama semua pihak di mana usaha untuk membanterasnya perlu dilakukan bagi mengelak kerosakan harta benda awam terus berleluasa pada masa akan datang.
“Saya berharap perkhidmatan awam dapat dijaga dengan baik. Semua pihak perlu mengambil tindakan terhadap perbuatan vandalisme di sekeliling kita,” katanya.

Tidak lapuk dek zaman

Walaupun telefon bimbit kini menjadi keperluan utama masyarakat, namun masih ada pihak memerlukan telefon awam sebagai kemudahan berikutan faktor kemiskinan dan kedudukan tempat tinggal di pedalaman.

Penduduk di Kampung Sungai Miang misalnya, kecewa kerana kampung itu masih belum disediakan kemudahan telefon awam walaupun mereka sudah membuat permohonan sejak sekian lama.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Omar berkata, ketiadaan telefon awam menyukarkan mereka menghubungi pihak-pihak tertentu sewaktu kecemasan.

“Kemudahan alat telekomunikasi awam masih penting, tambahan pula kampung ini berada agak jauh dari bandar.
“Bukan semua penduduk memiliki telefon bimbit. Keadaan itu menyukarkan kami menghubungi pihak tertentu seperti polis, bomba atau ambulans pada waktu kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno cawangan Sungai Miang, Fadzilah Awang Ibrahim berkata, penyediaan perkhidmatan tersebut wajar diberi perhatian sewajarnya.

Menurutnya, pihak berkenaan diminta supaya memasang semula perkhidmatan telefon awam di kawasan tersebut.

“Saya difahamkan wayar di sini sudah putus dan berharap pihak berkenaan dapat menyediakan kembali perkhidmatan telefon awam untuk memudahkan penduduk di sini.

“Pembangunan dan kemodenan tidak seharusnya menjadi penyebab untuk pihak berkenaan melupakan serta meminggirkan keperluan penduduk memerlukan,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: