19 Disember 2012

5 Safar 1433H. [MOD] -

Mangsa Rumah Terbakar Kpg Riam Jaya Mohon Bantuan Segera

MIRI - Kampung Riam Jaya jalan lapangan terbang Miri terletak dalam
kawasan DUN Lambir. Kebanyakan penduduk di situ berketurunan Melayu
dan terdapat juga Bumiputera lain.

Baru-baru ini, PAS Miri telah melawat mangsa rumah terbakar iaitu Pn
Sarifah Attiah yang tinggal bersama dengan dua orang anaknya dan juga
beberapa orang cucu.

Beliau seorang balu dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan, hanya
bergantung Ikhsan dengan hasil pendapatan anak lelaki beliau yang
tinggal bersama dengannya.  Mereka sudah tinggal di situ lebih
daripada 20 tahun dan inilah satu-satunya tempat peninggalan arwah
suami beliau.

Menurut Pn Sarifah, kebakaran berlaku dibahagian atas rumah ketika itu
bekalan elektrik terputus. Mereka harap pihak bomba dapat menyiasat
punca sebenar kebakaran tersebut kerana yang peliknya bagaimana boleh
terbakar sedangkan tiada berlaku litar pintas ketika itu bekalan
elektrik terputus.

Di belakang rumah beliau, terdapat projek perumahan yang masih dalam
pembinaan dan belakang rumahnya juga tanah hampir terhakis akibat
pembinaan perumahan tersebut.

Oleh itu beliau amat memerlukan bantuan segera dari pihak berwajib
agar rumahnya yang terbakar baru-baru ini dapat dibaiki semula. Apa
yang penting sekarang adalah kayu papan untuk membuat dinding, lantai
serta zink untuk atap rumah.

Keperluan tersebut amat diperlukan untuk melindungi mereka dari
terkena hujan dan panas. Sekurang-kurangnya dengan adanya bahan binaan
tersebut sudah tentu mereka dapat membina semula tempat tinggal mereka
dengan lebih selesa lagi.

Memandangkan pendapatan keluarga beliau sekadar cukup makan sudah
tentu tidak mampu untuk menanggung segala kerosakan rumah akibat
kebakaran tersebut.

Mereka juga pernah memohon bantuan dari badan kebajikan masyarakat
tetapi sampai sekarang masih belum ada bantuan yang datang. Kita juga
berharap lain-lain badan kebajikan seperti Baitulmal juga perlu datang
membantu dari segi membeli bahan binaan untuk membina semula rumah
mereka yang teruk terbakar itu.

Sekarang mereka terpaksa menumpang di rumah anak perempuannya yang
tinggal berdekatan dalam keadaan yang bersesak akibat rumahnya kecil.

Mereka memohon dan merayu agar masalah mereka ini dapat diatasi segera
dan diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak berkuasa yang
berkenaan.

Marilah kita bersama-sama memberi bantuan segera kepada keluarga
berkenaan untuk meringankan bebanan serta menampung keperluan
pembinaan semula rumah mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

Kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat kita hargai dan semoga
masalah keluarga ini dapat diatasi dengan segera.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: