19 Disember 2012

Derhaka: Tajol Rosli lupa sejarah bapanya Ghazali Jawi

5 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH: PAS Perak menyifatkan mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali lupa sejarah apabila menuduh Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin dan Dato’ Ngeh Koo Ham sebagai menderhaka kepada Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
 
Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategiknya, Salman Saleh berkata, Adun Pengkalan Hulu dalam ucapan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari kedua hari ini menganggap kedua-dua pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak mengenang budi dengan pemberian anugerah serta gelaran Datuk daripada Sultan Perak.

Katanya, jika diimbau kembali sejarah pada tahun 1974, Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi iaitu bapanya telah menderhaka pada Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah yang tidak perkenan dengan perlantikan Tan Sri Ghazali untuk menjadi Menteri Besar buat kali kedua.

“Kami juga boleh sifatkan Tan Sri Ghazali pada ketika itu juga tidak mengenang budi di atas penganugerahan tersebut.

“Kami sedih isu penganugerahan kebesaran oleh Seri Paduka Sultan Perak telah menjadi pertikaian oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) yang seolah-olah tidak menghormati penganugerahan yang telah diberikan,” katanya.

Menurut Salman, PAS Perak lebih melihat, BN khususnya Umno terdesak membawa isu derhaka ini bagi memancing ‘undi’ orang Melayu pada PRU13 nanti.

“Ternyata Umno sudah tidak yakin dengan sokongan Melayu terhadap mereka menyebabkan mereka membuat pelbagai persepsi dan dakwaan untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat khususnya PAS,” jelas beliau.
 
harakah/-

Tiada ulasan: