19 Disember 2012

Guru terkejut lihat saiz daun getah gergasi dirumahnya

5 Safar 1433H. [MOD] -

Guru terkejut lihat saiz daun getah gergasi dirumahnya
Azhan memegang dua daun getah bersaiz gergasi yang dibandingkan dengan daun getah bersaiz normal, semalam.
 
KOTA BHARU - Seorang guru terkejut apabila mendapati pokok getah liar di hadapan rumahnya berusia antara tiga hingga empat tahun menghasilkan daun getah bersaiz gergasi.

Azhan Ismail, 43, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising, Pasir Puteh berkata, pada petang daun getah yang ditemui dalam semak di luar pagar rumah berlainan dari daun yang gugur sebelumnya kerana saiznya yang luar biasa.

“Terkejut melihat saiznya, saya segera berlari ke dalam rumah mencari pita pengukur untuk mengambil ukuran daun terbabit dan salah satunya bersaiz 52 sentimeter (cm) panjang dan 20 cm lebar.

“Manakala sehelai lagi berukuran 48.5 sentimeter panjang dan 18.5 sentimeter lebar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azhan berkata, pada lazimnya, daun getah bersaiz biasa adalah bersaiz sekitar 20 sentimeter panjang dan 8 sentimeter lebar sahaja.

Apa yang lebih menarik, kata Azhan, daun getah berwarna hijau kekuningan yang ditemuinya itu dan kini disimpan dalam kotak, masih lagi dalam keadaan yang sama ketika ditemuinya pada 7 Disember lalu.

Azhan menjelaskan, kawasan semak di hadapan rumahnya itu dahulunya adalah bekas kebun getah dan sawit yang telah ditinggalkan justeru beliau berpendapat faktor kesuburan tanah mungkin menyebabkan pokok getah yang belum mencapai usia matang tersebut mampu menghasilkan daun bersaiz luar biasa.

“Sebelum ini penduduk kampung yang membuat makanan tradisional tapai suka mengambil daun getah daripada pokok hadapan rumah saya kerana kata mereka saiznya besar sedikit daripada saiz biasa jadi lebih mudah untuk membungkus.

“Namun saya tidak sangka, pokok itu boleh menghasilkan daun yang lebih besar dan ramai kawan-kawan yang datang memeriksa daun ini juga mengatakan mereka tidak pernah melihat daun sebesar ini dalam hidup mereka, bagi saya inilah antara contoh kebesaran ciptaan ALLAH SWT,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: