19 Disember 2012

Kelantan jayakan hasrat Jelapang Makanan Negara

5 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Kelantan akan menghidupkan tanah terbiar dengan lebih agresif dalam menjayakan hasrat sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.

Dianggarkan sebanyak 100 hektar tanah terbiar lagi bakal diterokai tahun 2013, berbanding 57 hektar tahun ini dengan pelbagai program pertanian.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata usaha Kelantan untuk menjadikan negeri pertanian tidak pernah silap sejak menerajui kepimpinan negeri tahun 1990 sehingga muncul sebagai pengeluar produk pertanian yang terpenting di negara ini.

Katanya, peningkatan itu hingga berjaya mencapai 19.4 peratus bagi sektor pertanian yang merupakan sebahagian penyumbang besar KDNK tahun 2012.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Bertani Satu Ibadat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, walaupun telah banyak kawasan tanah terbiar telah diterokai, namun usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Islam menitik beratkan pertanian, kerana itu Kelantan memperkenalkan tema pertanian Bertani Satu Ibadat kerana aspek itu merupakan sebahagian dari ibadat,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun dengan peruntukkan yang kecil hanya RM2.2 juta peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk program pertanian, namun hasil yang diperolehi begitu membanggakan.

“Sema aspek sama ada pertanian, penternakan khususnya lembu pawah begitu berjaya,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Seramai empat orang petani dan pengusaha berjaya menerima cenderahati berupa benih durian dan baja dari Timbalan Menteri Besar pada majlis yang diadakan di Balai Islam, Lundang pagi tadi.

harakah/-

Tiada ulasan: