19 Disember 2012

MAS belanja besar beli pesawat ATR

5 Safar 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA - Malaysia Airlines (MAS) bakal memperoleh 36 pesawat baharu ATR 72-600 dengan nilai RM3 bilion daripada ATR iaitu syarikat pengeluar turboprop atau pesawat yang menggunakan kipas berpangkalan di Toulouse, Perancis. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, ATR telah pun komited untuk menghantar tiga pesawat turboprop pada tahun depan, lima lagi tahun berikutnya dan enam pada tahun 2015.

"Daripada sejumlah 36 pesawat, Firefly akan mendapat 20 buah sementara MasWings pula 16 buah," kata beliau pada sidang akhbar untuk memaklumkan mengenai peluasan rangkaian Firefly semalam.

Ahmad Jauhari berkata, kelebihan operasi turboprop ialah keupayaannya untuk mendarat dan berlepas dengan amat pantas, kurang daripada 30 minit, sekali gus menyaksikan peningkatan kekerapan penerbangan.

"Pada masa ini, orang ramai mengembara mengikut keselesaan masing-masing, jadi kekerapan ataupun frekuensi amat penting," kata beliau sambil menambah bahawa pemilikan pesawat baharu itu akan dibiayai dengan dana dalaman, dalam lingkungan kumpulan MAS.

kosmo/-

Tiada ulasan: