01 Mac 2013

1,600 rumah ditenggelami air

18 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Seorang wanita menaiki sebuah lori pikap meredah sebatang jalan yang dinaiki air sambil disaksikan sekumpulan kanak-kanak perempuan di Narathiwat, kelmarin. - AFP 
 
NARATHIWAT 28 Feb. - Lebih 1,600 buah rumah di tujuh daerah di Narathiwat ditenggelami air selepas hujan lebat melanda wilayah itu, sejak tiga hari lalu.

Lebih 6,500 penduduk di kawasan itu terpaksa dipindahkan ekoran kejadian tersebut.
Akhbar Bangkok Post melaporkan hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan sekitar Sungai Golok, Si Sakhon, Chanae, Waeng, ChoAirong, Rueso dan Tak Bai di Narathiwat.

Banjir terburuk dilaporkan di daerah Sungai Golok dengan paras air naik antara 60 sentimeter dan 80 sentimeter, memaksa 130 orang daripada 17 keluarga dipindahkan ke tempat pemindahan sementara.
Kira-kira 24 batang jalan raya di enam daerah di Narathiwat juga terputus hubungan selepas paras air banjir naik antara 50 sentimeter dan 80 sentimeter.

Sebanyak empat buah sekolah di daerah Rangae, Muang Narathiwat dan Waeng ditutup ekoran banjir itu.
Di Songkhla, seluas 51.2 hektar kawasan sawah di daerah Rattaphum musnah akibat banjir.
Seorang petani, Sumeth Kwanprod berkata, kawasan sawah seluas 1.6 hektar miliknya ditenggelami air sejak beberapa hari lalu selepas hujan lebat.

''Semua petani tidak bersedia menghadapi banjir dan air naik dengan cepat selepas hujan lebat,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembendungan dan Pengurangan Bencana Alam, Chatchai Promlert berkata, hujan lebat menyebabkan wilayah selatan negara ini dilanda banjir terutama di Yala, Phatthalung, Narathiwat dan Songkhla.

''Setakat ini, sebanyak 100,000 orang daripada 26,713 keluarga di empat wilayah di selatan negara ini terpaksa dipindahkan akibat banjir,'' katanya. - AGENSI


Tiada ulasan: