Petaling Jaya: Meskipun baru berusia tujuh tahun, seorang kanak-kanak
lelaki sudah pandai meneguk bir yang disimpan di dalam peti sejuk di
rumah jirannya dalam kejadian di Damansara Damai, di sini.
Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang belajar di tahun satu itu
dipercayai mengambil minuman berkenaan buat pertama kali kelmarin
sebelum jirannya mengadu kepada ibu kanak-kanak lelaki itu.
Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu,
kanak-kanak terbabit mengunjungi rumah jirannya itu untuk bermain
seperti biasa manakala ibunya berada di rumah bersama seorang lagi
anaknya.
“Ketika itu, ibu kanak-kanak itu didatangi jirannya yang mengadu
anaknya membuka peti sejuk tanpa kebenaran dan lebih mengejutkan, dia
meneguk bir yang disimpan di dalam peti sejuk berkenaan.
“Sejurus selepas itu, ibu kanak-kakak terbabit menyoal anaknya itu
dan dia mengaku serta memberi alasan berbuat demikian kerana ingin
mencuba air orang ‘dewasa’ itu,” katanya.
Menurutnya, ibu kanak-kanak berkenaan yang berang dengan tindakan itu
merotan anaknya itu dengan wayar hingga menyebabkan kesan lebam di
tangan, bahu dan belakang badan.
Katanya, selepas kanak-kanak itu pergi ke sekolah semalam, guru
kelasnya yang ternampak kesan lebam di tangan kanak-kanak itu menyangka
anak muridnya yang berusia tujuh tahun itu menjadi mangsa dera ibu
sebelum membuat laporan polis.
“Selepas disoal siasat, akhirnya terbongkar kejadian kanak-kanak
lelaki itu sebenarnya dihukum akibat tindakannya minum bir di rumah
jiran sebelum diserahkan kepada guru kaunseling untuk tindakan lanjut,”
katanya.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan