01 Mac 2013

Mahasiswa mohon RTM siar debat dengan PM

18 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -




Mohd Nadzir menerima surat daripada GM13.

KUALA LUMPUR: Gerakan Mahsiswa PRU13 (GM13) hari ini memohon RTM menganjurkan debat terbuka mahasiswa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara langsung.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat kepada Ketua Pengarah RTM, yang diserahkan di Angkasapuri tengah hari tadi.

Bagaimanapun surat permohonan tersebut diserahkan kepada Pengarah Pengurusan RTM, Mohd Nadzir Don di hadapan pintu gerbang Angkasapuri.

Mohd Nadzir memaklumkan Ketua Pengarah RTM tidak dapat menerima surat permohonan itu kerana beliau mempunyai urusan penting di luar.

Di dalam pertemuan tidak sampai 20 minit itu, Mohd Nadzir menegaskan mereka hanya boleh menerima surat tersebut tetapi tidak boleh memberi jaminan akan menganjurkan debat kerana ia melibatkan Perdana Menteri.

Beberapa wakil GM13 yang diketuai oleh Pengerusinya Syis Abdul Kadir tidak dibenarkan masuk, walaupun melebihi garisan pintu pagar utama Angkasapuri.

Kelihatan lebih 10 anggota polis sedang mengawal di pintu masuk utama Angkasapuri.

Menurut Syis, permohonannya itu untuk mengetahui maklum balas dari Perdana Menteri sendiri berhubung segala isu yang telah berlaku kepada mahasiswa sebelum ini terutama berkenaan manifesto mahasiswa dalam menghadapi PRU13.

Malah kandungan surat tersebut turut memaklumkan tarikh debat iaitu bermula sekarang sehingga 6 Mac 2013 dengan tajuk 'Barisan Nasional Jadikan Universiti Sebagai Kilang' bertempat di Angkasapuri RTM.

"Kami berharap permohonan ini mendapat perhatian demi menyuburkan nilai demokrasi serta memberi pendidikan politik untuk rakyat Malaysia," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: