10 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Tiga turut cedera terkena serpihan badan helikopter
Seremban: Dalam keadaan tidak nampak kerana cermin mata terjatuh, Banee Yamin Idris, 35, gagahkan diri berlari membawa Nurdamia Husnina ke ambulans selepas melihat sebahagian kepala anaknya terkoyak.
Bagaimanapun, anak bongsunya, Nurdamia Husnina, 18 bulan, maut apabila kepalanya terkena bilah helikopter kawalan jauh model Align T-REX 700 Nitro yang terhempas di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, malam kelmarin.
Menceritakan kejadian ngeri itu, pembantu akauntan di Jabatan Akauntan Negara di sini, berkata nahas berlaku terlalu pantas dan hanya sedar sebaik melihat kepala Nurdamia yang sebelum itu tidur di pangkuannya berdarah.
“Saya berlari sejauh kira-kira 100 meter ke arah ambulans yang memang ada di situ. Apabila sampai, baru saya sedar kepala saya juga cedera manakala mata dan bibir bengkak menyebabkan saya hampir pengsan kerana mabuk darah.
“Jika tidak pakai cermin mata, mungkin saya buta terkena bilah helikopter itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, semalam.
Gimik majlis
Dalam kejadian pada jam 9.55 malam itu, Nurdamia meninggal dunia selepas kepalanya terkena bilah helikopter kawalan jauh ketika gimik majlis perasmian padang bola sepak sintetik di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Tiga pengunjung lain yang berada di tempat kejadian turut cedera terkena serpihan badan helikopter, tetapi hanya dirawat sebagai pesakit luar di HTJS.
Menteri Besar yang ditemui ketika melawat Banee Yamin di HTJS, tengah hari semalam, berkata, bapa kanak-kanak itu akan menjalani sesi kaunseling traumatik untuk mengurangkan perasaan trauma akibat kejadian itu.
Pengendali helikopter ditahan
Sementara itu, ibu mangsa, Rafeah Zainal Abidin, 35, yang sedih dengan kehilangan anaknya berkata, ketika kejadian dia berada di rumah kerana dua anaknya yang berusia enam dan 11 tahun turut mengikut bapa mereka.
Jenazah Nurdamia dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Geduhum, Dangi, Kuala Pilah, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata polis menahan pengendali helikopter itu yang juga seorang pemandu teksi berusia 40 tahun, semalam.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
Berita Harian/-
1 ulasan:
saman ler yang punya majlis tu..bukan pengendali helikopter....dia ikut arahan jer...
Catat Ulasan